- Iklan -
Berita

Konvoi PM diberi laluan elak risiko kemalangan, kata polis

Konvoi Ismail yang berada di jalan utama diberi keutamaan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan polis.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar anggota polis menahan ambulans bagi memberikan laluan kepada konvoi perdana menteri.
Tangkap layar anggota polis menahan ambulans bagi memberikan laluan kepada konvoi perdana menteri.

Tindakan polis menghentikan sebuah pacuan empat roda dan ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi rombongan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melawat mangsa banjir adalah bagi mengelak risiko kemalangan berikutan konvoi itu berada di jalan utama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Azman Shari’at berkata sekiranya anggota trafik di persimpangan memberi keutamaan jalan kepada pacuan empat roda dan ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah yang hendak keluar dari persimpangan jalan itu, ia adalah tindakan yang mewujudkan risiko kemalangan dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Oleh yang demikian, konvoi yang berada di jalan utama telah diberi keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan oleh anggota trafik berkenaan.

“Anggota bertugas di persimpangan itu telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan berkenaan untuk tempoh yang singkat memandangkan jarak pendahulu konvoi yang telah tiba hampir ke persimpangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan tindakan yang diambil polis trafik berikutan video yang tular di media sosial pada 26 Disember lepas memaparkan kenderaan pacuan empat roda dan ambulans berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi oleh polis trafik.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi semasa rombongan Perdana Menteri dalam perjalanan bagi melihat sendiri kerja-kerja pembersihan dilaksanakan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir dari Taman Sri nanding, Hulu Langat ke lokasi lain di Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 Hulu Langat dengan diiringi polis Trafik.

Azman berkata sebaik sahaja konvoi melepasi persimpangan itu, dalam tempoh yang singkat anggota trafik telah mengambil langkah segera bagi memberi keutamaan jalan kepada ambulans dan kenderaan pacuan empat roda berkenaan setelah mendapati tiada risiko kemalangan.

Beliau berkata semua pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Polis Trafik sentiasa diarah untuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti yang membawa pesakit.

“PDRM sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulans dan bomba,” katanya.