Saturday, January 29, 2022

Jumlah mangsa banjir di PPS mula menurun

Kesemua mangsa kini berada di 183 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Other News

Sebanyak 28,005 mangsa banjir daripada 8,598 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri pagi ini berbanding 33,193 mangsa malam tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 183 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di Selangor, aplikasi itu menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 11,864 mangsa daripada 3,521 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS pagi ini, berbanding 15,354 mangsa di 81 PPS malam tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut menasihati masyarakat supaya tidak membakar sisa buangan banjir mereka.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata ia susulan semalam pihaknya telah mendapat panggilan untuk memadam kebakaran melibatkan sampah dan perabot rosak pada 5.50 petang dan setakat ini dua kes direkodkan berlaku sekitar Kapar, Klang.

Di Pahang, 16,579 mangsa banjir masih berada di 119 pusat pemindahan sementara pagi ini berbanding 17,211 orang malam tadi.

Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, beberapa sungai yang direkodkan pada paras bahaya sejak beberapa hari lepas seperti Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Bera di Bera kini berada di paras amaran dengan trend menurun.

Jabatan meteorologi pula meramalkan hujan di sesetengah kawasan di Kuantan dan Pekan pagi ini, manakala di daerah lain cuaca baik.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan dengan 378 orang daripada 127 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 470 orang daripada 153 keluarga semalam, melibatkan dua PPS yang dibuka di Pasir Mas.

Dua PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui ttps://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dan hanya satu sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 128 individu daripada 37 keluarga berbanding semalam 132 mangsa daripada 38 keluarga.

Katanya tiga PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles