- Iklan -
Berita

Kerajaan Johor teliti keperluan adakan PRN, kata MB

Perkara itu diteliti berikuta majoriti kerajaan Johor hanya memiliki kelebihan satu kerusi selepas kematian Adun Kempas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad. Gambar: Bernama
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad. Gambar: Bernama

Kerajaan Johor akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak lama lagi untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dengan hanya satu kerusi yang boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

“Saya sedang memantau keadaan apabila berlakunya keadaan sedemikian dengan kematian Osman Sapian (yang merupakan) Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, menjadikan (kerajaan negeri) Johor tinggal satu majoriti (kerusi) sahaja.

“Maka itu, perlu saya memahami reaksi khususnya kalangan parti-parti yang bergabung untuk menubuhkan kerajaan kerana kami telah bersetuju pada 6 Januari ini, kami akan mengadakan sidang khas untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkenaan dengan pengundi berusia 18 tahun,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda Umno Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan Umno Negeri Johor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura mengenai pertemuan beliau dan perdana menteri dalam masa terdekat ini.

Osman yang merupakan Adun Kempas dan ketua Bersatu Ayer Hitam meninggal dunia pada 21 Disember lalu di Kuala Lumpur.

Beliau dilantik sebagai menteri besar Johor ke-16 selepas pilihan raya umum pada 2018.

Beliau adalah menteri besar bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.