- Iklan -
Berita

Tiada arahan promosi minyak sawit kepada pemimpin Amanah, kata Zuraida

Hasanuddin mendakwa pertemuannya dengan timbalan presiden Iran diteruskan supaya negara itu membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama

Putrajaya hari ini menafikan dakwaan Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus dari Amanah yang mendakwa dihantar ke Iran untuk berbincang mengenai isu pembelian minyak sawit dari Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata dakwaan naib presiden Amanah yang dikecam baru-baru ini itu adalah tidak benar.

“Saya mendapat pengesahan dari Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA) bahawa tiada sebarang maklumat diberikan atau permintaan kepada YB Hulu Langat berkaitan perkara yang dibangkitkan di dalam artikel berkenaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan kemudian, Zuraida menyarankan supaya sebarang rundingan yang dibuat perlu dilaksanakan melalui saluran rasmi kerajaan.

Malah, beliau turut memaklumkan bahawa misi lawatan ke Iran telah dirancang untuk dilaksanakan pada suku pertama 2022 dalam usaha menggalakkan lagi perdagangan sawit negara dengan republik itu.

“Ini selaras dengan fungsi dan peranan kementerian bagi meningkatkan perdagangan sawit Malaysia di peringkat global.

“Kementerian perusahaan perdagangan dan komoditi (KPKK) sedar akan potensi pasaran minyak sawit di iran dan telah adakan pertemuan bersama duta Republik Islam Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi pada 12 Oktober lalu,” jelasnya.

Zuraida turut memaklumkan bahawa antara perkara yang dibangkitkan ketika pertemuan itu ialah permohonan kerajaan Iran meningkatkan had import minyak sawit dari 30% ke 40%.

Semalam Hasanuddin memberitahu media pertemuannya dengan timbalan presiden Iran diteruskan kerana beliau membawa isu supaya negara itu membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia.

Hasanuddin turut menegaskan lawatan itu adalah demi “kepentingan negara” selain membawa isu untuk menurunkan cukai kerajaan Iran terhadap minyak sawit dari 40% kepada 20%.

Sebelum ini, Hasanuddin dikecam pengguna media sosial apabila beliau memuat naik gambarnya ketika berada di ketinggian 5,000 kaki di Gunung Tochal, Iran pada 18 Disember lalu apabila kawasan Parlimennya turut dilanda banjir.

Rata-rata pengguna pengguna media sosial turut menggesa supaya beliau pulang ke tanah air demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan membantu penduduk termasuk pengundinya yang terjejas ekoran banjir.

Bagaimanapun, Hasanuddin menerusi status yang dimuat naik dalam Facebooknya menyatakan beliau turut mengikuti perkembangan banjir.

Selepas dikecam teruk, Hasanuddin kini mula dilihat berada di kawasan Parlimennya meninjau keadaan mangsa banjir sekitar Hulu Langat.