Saturday, January 22, 2022

Kanak-kanak perlu sokongan emosi, psikologi pasca banjir, kata pakar

Menurut pakar psikologi, kondisi mental dan fizikal kanak-kanak boleh merosot sekiranya impak pasca banjir terhadap mereka tidak dibendung di peringkat awal.

Other News

Banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini bukan sahaja boleh menyebabkan gangguan emosi dalam kalangan orang dewasa disebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan keluarga tersayang tetapi juga berpotensi menjejaskan emosi kanak-kanak.

Justeru, pakar psikologi kanak-kanak berpendapat sokongan psikologi dan emosi terhadap golongan ini amat diperlukan terutama ketika fasa pasca banjir bagi memastikan perkembangan psikologi, emosi dan mental mereka tidak terganggu dengan bencana itu.

Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata tumbesaran dan perkembangan asas mental serta emosi kanak-kanak ada hubung kait dengan faktor tempat tinggal yang selamat.

“Keadaan seperti bencana alam mudah membuatkan mereka (kanak-kanak) risau kerana berada dalam satu keadaan tidak pasti. Sesuatu yang tidak pasti mudah menjadikan mereka bimbang dan ini melibatkan rasa tidak selamat dalam diri.

“Justeru, dalam keadaan ini, ibu bapa disarankan untuk sentiasa berbual dengan anak, maklumkan mereka dengan kata-kata peneguhan bahawa semuanya dalam kawalan ibu bapa dan anda (sebagai ibu bapa atau dewasa) akan sentiasa ada bersama untuk memastikan keselamatan mereka.

“Elakkan juga memberi pendedahan keterlaluan dengan input berita yang boleh membawa kebimbangan melampau dalam diri anak-anak,” kata Dr Putri Afzan yang juga pengasas sebuah tadika swasta kepada Bernama.

Menurut Dr Putri Afzan kesan jangka pendek dan panjang pasca banjir yang bertindih dengan fasa pasca pandemik Covid-19 perlu diambil kira terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak berkenaan.

Katanya, kaedah penyampaian social stories (kisah sosial) dapat sedikit sebanyak membantu anak-anak yang terkesan secara terapuetik.

“Hakikatnya, kita masih belum lagi selesai dengan isu Covid-19, dan lockdown (PKP) berpanjangan telah pun memberi kesan regression pada anak-anak. Sama ada mereka terlibat secara langsung atau tidak, keadaan emosi dan psikologi mereka wajar dibimbangi.

“Kita yang dewasa perlu cakna tentang bagaimana penerimaan anak-anak ini tentang bencana yang berlaku. Berhati-hati dengan keperluan emosi mereka dan saya akan katakan, kaedah social stories akan membantu kanak-kanak yang terjejas,” katanya.

Social stories atau kisah sosial adalah alat bantu visual yang dicipta oleh Carol Gray sekitar 1991 untuk membantu menjelaskan mengenai situasi, peristiwa atau kegiatan tertentu. Bagi individu yang mengalami spektrum autisme kisah sosial dapat membantu mereka memahami orang lain berperilaku atau merespons situasi tertentu.

Sementara itu, Kaunselor Psikologi, Ketua Unit Kaunseling Psikologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Noor Suraya Muhamad berpendapat kondisi mental dan fizikal kanak-kanak boleh merosot sekiranya impak pasca banjir terhadap mereka tidak dibendung di peringkat awal.

Menurutnya, tahap kebimbangan dan trauma emosi mereka berpotensi membawa kepada perubahan tingkah laku yang lebih ketara seperti tantrum, insomnia, hilang selera makan dan penjarakan diri.

“Kesepaduan sosial masyarakat dan keluarga sebelum bencana berlaku dan proses pemulihannya selepas itu, begitu juga komunikasi dan keberadaan keluarga yang sentiasa ada bersama ketika saat kritikal begini sememangnya menjadi teras untuk mengurangkan penderitaan rakyat dan dapat menggalakkan pemulihan lebih berkesan sesama mangsa terlibat.

“Ini juga adalah komponen psychological first aid (PFA), yang dipersetujui di peringkat antarabangsa sebagai set prinsip penting dalam memberikan penjagaan psikososial khususnya kepada kanak-kanak,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 37 kematian dan 10 laporan orang hilang direkodkan di kawasan banjir di seluruh negara.

Sebanyak 68,341 mangsa banjir daripada 18,080 keluarga berada di 396 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh negeri dengan Pahang paling teruk terjejas pada kali ini, selain Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles