- Iklan -
Berita

Zahid tidak sihat, bicara kes rasuah tangguh Februari depan

Hakim Mohd Yazid Mustafa membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan esok kerana tertuduh tidak sihat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem visa luar negara (VLN) yang ditetapkan hari ini dan esok telah dilapangkan susulan bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan tidak sihat.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu yang dijalankan dalam kamar, timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran berkata hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan esok kerana tertuduh tidak sihat.

“Peguam meminta untuk menangguh perbicaraan sebab tertuduh dikatakan tidak sihat walaupun ada di perkarangan mahkamah, oleh kerana atas sebab kesihatan, hakim membenarkan penangguhan. Hari ini dan esok dilapangkan,” katanya sambil menambah kes itu ditetapkan untuk sambung bicara pada 3 Februari 2022.

Prosiding hari ini turut disertai TPR Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Ahmad Zaidi Zainal.

Setakat ini, lima saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan pada perbicaraan tersebut sementara bekas ketua setiausaha kementerian dalam negeri Alwi Ibrahim, 62, masih di peringkat pemeriksaan balas.

Mahkamah juga telah menetapkan 18 hari untuk sambung bicara kes tersebut iaitu pada 3 Feb, 7 dan 8 Mac, 1 April, 10-13 Mei, 17-20 Mei, 30 dan 31 Mei serta 13-16 Jun.

Mahkamah juga menetapkan 25-29 Julai untuk hujahan lisan dan bertulis serta 24 Ogos untuk keputusan.

Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian dalam negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.