- Iklan -
Berita

Waspada penyakit bawaan air, kencing tikus ketika musim banjir, kata pakar

Orang ramai dinasihat memakai sarung tangan dan menggunakan sabun ketika melakukan kerja-kerja pembersihan selepas banjir.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang mangsa banjir menyusun barang-barang di rumahnya yang terletak Kampung Delek, Klang.
Seorang mangsa banjir menyusun barang-barang di rumahnya yang terletak Kampung Delek, Klang.

Banjir besar yang melanda Lembah Klang pada hujung minggu baru-baru ini berlaku tanpa diduga oleh kebanyakan mereka yang terlibat, dan bagi sesetengah daripada mereka pula bencana itu adalah fenomena asing lantaran sudah berpuluh tahun tidak mengalaminya.

Banjir mungkin telah surut di kebanyakan tempat, dan mangsa kini berdepan dengan impak bencana itu – kerosakan harta benda – dan lebih malang lagi apabila ada yang kehilangan ahli keluarga akibat lemas dalam kejadian tersebut.

Pada masa yang sama, mereka berdepan risiko limunan iaitu jangkitan penyakit yang lazim hadir bersama-sama bencana alam tersebut.

Menurut pakar perunding perubatan Dr Peter Pragasam, kebanyakan penyakit berjangkit yang menular semasa banjir disebabkan oleh  virus dan bakteria yang biasa ditemukan dalam air bah, dan berpindah ke dalam tubuh manusia menerusi makanan dan minuman yang dicemari air banjir, atau luka terbuka pada badan seseorang individu.

Antara penyakit berjangkit yang boleh berlaku semasa musim banjir ialah demam kepialu yang disebabkan oleh bakteria Salmonella enterica serotype thyphi.

”Tempoh pengeraman ialah satu hingga tiga hari selepas dijangkiti oleh bakteria itu. Antara gejala demam kepialu ialah demam panas, tiada selera makan, sakit kepala, sakit seluruh badan dan lesu, selain muntah dan sembelit serta cirit-birit,” jelasnya ketika dihubungi Bernama di sini.

Dr Peter yang bertugas di sebuah hospital swasta di Cheras, berkata penyakit lain ialah kolera atau taun yang berpunca daripada bakteria Vibrio cholarae, dan antara gejalanya ialah cirit berair yang teruk, kehilangan cecair dalam badan pada kadar yang cepat dan seterusnya menyebabkan dehidrasi.      

“Jika tidak dirawat dengan baik, jangkitan kolera boleh menjadi bertambah teruk. Antara simptom biasa ialah diarea (cirit-birit), demam ringan, muntah-muntah dan kejang kaki, yang boleh dialami selepas tempoh pengeraman satu hingga lima hari,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar berwaspada dengan penyakit leptospirosi atau sakit kencing tikus, jangkitan zoonotik yang disebabkan oleh bakteria genus Leptospira. Bakteria tersebut boleh memasuki tubuh manusia menerusi pengambilan makanan dan minuman atau luka terbuka.

“Jangkitan berlaku apabila ada luka terbuka atau pengambilan makanan dan minuman dicemari air kencing tikus. Tempoh pengeraman bakteria ialah tujuh hingga 10 hari selepas bakteria memasuki badan.

“Gejalanya termasuk demam panas, sakit kepala, sakit otot dan diarea. Jika tidak dirawat segera, leptospirosis boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, meningitis (keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang), masalah pernafasan, malah maut,” tegas Dr Peter.

Sementara itu, pensyarah kanan di Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Penyakit Berjangkit Tropika (Tidrec) Universiti Malaya Dr Zubaidah Yaçob berkata banjir juga boleh meningkatkan kes penyakit bawaan vektor seperti demam malaria, denggi dan denggi berdarah.

“Kejadian banjir secara tidak langsung berpotensi meningkatkan kes penyakit bawaan vektor disebabkan peluasan kawasan habitat vektor.

“Air yang bergenang disebabkan hujan lebat atau limpahan air sungai boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk, sekali gus berpotensi meningkatkan kes seperti demam denggi dan chikungunya,” jelas beliau kepada Bernama.

Menurutnya, situasi itu akan menambah beban masyarakat di kawasan terjejas bencana serta sistem kesihatan negara yang pada masa ini masih lagi berjuang menentang pandemik Covid-19.

“Justeru, langkah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit termasuk Combi (communication for behavioural impact) mesti dilaksanakan di semua peringkat,” saran Dr Zubaidah.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Dr Hayati Kadir Shahar pula menasihati ahli masyarakat agar memeriksa makanan yang disimpan di dalam peti sejuk  serta peralatan untuk penyediaan makanan.

Periksa bagi memastikan sama ada makanan itu masih elok atau perlu dibuang dan begitu juga dengan peralatan penyediaan makanan, katanya.

Ini kerana katanya gangguan bekalan elektrik adalah antara akibat yang biasa terjadi apabila berlaku bencana alam seperti banjir.

“Jika bekalan elektrik terputus, pastikan pintu peti sejuk dan ruang sejuk beku dalam keadaan bertutup selama mungkin bagi mengekalkan suhu. Peti sejuk yang tidak dibuka boleh menyejukkan makanan selama kira-kira empat jam, manakala ruang sejuk beku yang penuh pula  boleh mengekalkan suhu selama 48 jam (24 jam jika hanya separuh penuh).

“Jika ketiadaan bekalan elektrik berpanjangan, beli bongkah ais atau ais kering untuk memastikan peti sejuk dalam keadaan sesejuk mungkin. Makanan mudah rosak (seperti daging, ayam, ikan, telur atau baki makanan) yang terdedah kepada suhu melebihi 40 darjah Fahrenheit selama dua jam atau lebih, perlu dibuang,” nasihat beliau.

Untuk air minuman pula, beliau menasihati mereka yang terjejas bencana itu agar menggunakan air dibotolkan yang belum terdedah kepada air banjir. Jika tidak ada air dibotolkan, masak air sehingga mendidih. Kebanyakan organisme punca penyakit mati apabila air dimasak. Jika air keruh, tapis menggunakan kain yang bersih atau biarkan mendap sebelum ambil air yang telah jernih itu untuk dimasak, pesannya.

Bagi yang mahu membersihkan rumah, beliau menasihati mereka agar memakai pakaian pelindung diri seperti sarung tangan.

“Anda juga boleh menggunakan sabun dan air panas untuk membersihkan rumah. Bilas dan kemudian sanitasi menggunakan sesudu besar cecair peluntur klorin tanpa bau yang dicampur bersama segelen air bersih.

“Pastikan setiap sudut, rekahan dan celah lantai bilik, pemegang pintu dan pengedap pintu rumah yang terjejas banjir dibersihkan,” katanya.