- Iklan -
Berita

Rosmah nafi suara dalam audio ‘Can I advise you something?’

Rosmah tidak bersetuju suara dalam audio terkenal 'Can I advise you something?' adalah dirinya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini kandungan rakaman audio yang mengandungi ayat “Can I advise you something?” adalah tidak benar dan tiada siasatan saintifik untuk membuktikan ia adalah suaranya.

Rosmah, 70, berkata demikian ketika ditanya sama ada kandungan audio itu benar, semasa pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya (TPR) kanan Gopal Sri Ram dalam perbicaraan pembelaannya yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sri Ram: Saya katakan kepada anda kandungan rakaman itu benar. Adakah anda bersetuju?

Rosmah menjawab, “Tidak, mengarut semata-mata.”

Rosmah juga tidak bersetuju dengan cadangan Sri Ram bahawa suara dalam rakaman itu adalah suaranya.

Sri Ram: Anda mengesahkan suara dalam rakaman itu adalah suara anda dan suami anda (Najib Razak)?

Rosmah: Tidak, saya tidak dapat mengesahkannya, kerana tidak ada siasatan saintifik yang dilakukan mengenainya.

Sri Ram: Saya juga menyatakan kepada anda bahawa semasa perbualan itu, anda membuat rujukan berhubung pelantikan jawatan awam.

Rosmah: Saya tidak bersetuju.

Rosmah juga tidak bersetuju dengan Sri Ram bahawa beliau tidak mahu dikaitkan dengan kandungan rakaman audio berkenaan kerana rakaman itu mengesahkan beliau menasihatkan suaminya berhubung pelantikan jawatan awam.

Sri Ram berkata beberapa saksi dalam perbicaraan itu termasuk bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dan bekas pembantunya Rizal Mansor, telah memberi keterangan di mahkamah bahawa ia adalah suara Rosmah dan Najib.