- Iklan -
Berita

PPS Temerloh sesak, mangsa banjir mohon bantuan

Beberapa mangsa terpaksa tidur di dalam kereta atau berkhemah di bahu jalan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bot digunakan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Pahang. Sembilan daerah termasuk Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan antara yang paling teruk dilanda banjir. Gambar: Bernama
Bot digunakan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Pahang. Sembilan daerah termasuk Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan antara yang paling teruk dilanda banjir. Gambar: Bernama

Jumlah mangsa banjir yang terlalu ramai menyebabkan beberapa pusat penempatan sementara (PPS) di daerah ini sesak, sehingga ada yang terpaksa tidur di dalam kereta atau berkhemah di bahu jalan.

Seorang penduduk Taman Sri Semantan, Nurul Shafiqah Shahrin berkata keadaan itu menyukarkan mangsa mendapatkan barangan keperluan seperti makanan, air mineral, selimut, bantal, pakaian, serta lampin pakai buang dan susu formula bayi.

Gadis itu bersama tiga lagi ahli keluarganya berpindah dari rumah mereka di tingkat atas sebuah rumah kedai hari ini, namun tidak mendapat tempat di PPS Sekolah Kebangsaan Mentakab Jaya kerana telah penuh.

“Buat sementara kami sekeluarga menumpang di rumah kenalan yang tidak dinaiki air, ada penduduk yang tidur di tepi jalan. Kami belum mendapat bantuan, malah mangsa di PPS juga tidak mendapat bekalan mencukupi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, hantaran Nurul Shafiqah, 23, mengenai keadaan mangsa banjir di Taman Sri Semantan yang memerlukan bantuan, tular di media sosial semalam.

Seorang lagi penduduk Taman Sri Kemuning, M. Ramesh, 37, terpaksa berjalan kaki sejauh hampir 4km termasuk mengharung air sehingga paras dada untuk membeli bekalan beras.

“Kedai runcit dekat rumah kehabisan beras, jalan besar pula sudah dinaiki air. Ada kawan kata di sini ada lagi beras, jadi kami jalan kaki ke sini,” katanya sambil menambah penduduk di perumahan itu memerlukan bantuan akibat terkandas walaupun rumah mereka tidak dinaiki air.

Ketika ditemui Bernama, beliau bersama isteri dan seorang saudaranya sedang berehat seketika dalam keadaan basah kuyup sebelum berjalan kaki semula untuk pulang ke rumah.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di Taman Temerloh Jaya hari ini mendapati beberapa kedai runcit sudah kehabisan stok makanan seperti roti, tepung, gula dan susu, manakala barangan keperluan lain semakin berkurangan.

Ribuan penduduk di kawasan itu, termasuk Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur, terkandas berikutan semua jalan keluar dinaiki air.