- Iklan -
Berita

Orang awam dinasihat elak berada di kawasan empangan Selangor

Ia adalah langkah berjaga-jaga selepas empangan di Selangor menunjukkan paras air, kuantiti dan halajunya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang mangsa banjir sedang membersihkan keretanya di Taman Sri Muda. Selangor menjadi negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir selepas hujan berterusan hujung minggu lalu.
Seorang mangsa banjir sedang membersihkan keretanya di Taman Sri Muda. Selangor menjadi negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir selepas hujan berterusan hujung minggu lalu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di dalam kawasan sungai berhampiran empangan di Selangor yang kini menunjukkan sedikit peningkatan pada paras air dan kuantiti serta halajunya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim dalam kenyataan hari ini berkata meskipun situasi kemungkinan kejadian limpahan air sungai adalah minimum, namun langkah berjaga-jaga harus diambil, apabila berlakunya limpahan dan pelepasan air empangan.

“Apabila takungan di empangan-empangan mencapai tahap maksimum, lebihan air takungan akan melimpah (overflow) melalui alur limpah (spillway) dan disalurkan ke sungai berhampiran, namun kadar aliran adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, prosedur pelepasan air empangan pula akan dilaksanakan dengan kawalan melalui menara pelepasan air empangan (drawoff tower atau radial gate) yang turut dialirkan ke sungai berhampiran merujuk kepada lengkuk operasi empangan yang ditetapkan.

“Ini adalah bagi memastikan kawalan terhadap limpahan di hilir sungai dan juga memastikan keselamatan integriti struktur empangan,” katanya.

Terdapat tujuh empangan di Selangor iaitu Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi di daerah Hulu Selangor, Empangan Tasik Subang di daerah Petaling, Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih di daerah Hulu Langat dan Kolam Off River Storage (ORS) Labu di daerah Sepang yang berfungsi sebagai takungan sumber bekalan air mentah yang dioperasikan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Sementara Empangan Klang Gates dan Empangan Batu di daerah Gombak merupakan empangan dwifungsi bagi tujuan tebatan banjir dan bekalan air mentah yang dioperasikan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bersama-sama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Beliau berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luasaa) selaku agensi yang mengawal selia sumber air sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan kuantiti takungan empangan berkenaan agar sentiasa mencukupi untuk pembekalan air mentah bagi 34 muka sauk bekalan air di Selangor terutamanya untuk persediaan menghadapi musim kemarau.

Untuk mendapatkan maklumat terkini status paras air empangan Selangor, orang ramai juga boleh melayari portal Integrated Water Resources Management Systems (IWRIMS) atau memuat turun aplikasi IWRIMS.