- Iklan -
Berita

Kluster baru di Sandakan libat lelaki pulang umrah

Kluster jemaah umrah yang dari Sandakan yang baru pulang dari Arab Saudi itu dikategorikan sebagai kes import.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana penumpang yang menunggu bagasi di KLIA. Penumpang penerbangan antarabangsa turut memakai pakaian pelindung lengkap bagi mengelak jangkitan Covid-19. Gambar: Bernama
Suasana penumpang yang menunggu bagasi di KLIA. Penumpang penerbangan antarabangsa turut memakai pakaian pelindung lengkap bagi mengelak jangkitan Covid-19. Gambar: Bernama

Sabah merekodkan 202 kes positif Covid-19 hari ini dengan 11 daripadanya dikesan menerusi satu kluster baru di Sandakan, menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu 239,026.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata kluster baru itu ialah kluster Millenium Saudi melibatkan jemaah dari Sandakan yang baru pulang daripada menunaikan umrah dan dikategorikan sebagai kes import.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata kes indeks kluster berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun dengan sejarah perjalanan menunaikan umrah bermula 4 hingga 15 Disember lepas di Arab Saudi.

“Saringan PCR dibuat di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur setibanya kes indeks dari Arab Saudi, sebelum menyambung penerbangan domestik ke Sandakan dan seterusnya menjalani kuarantin wajib di rumah. Bagaimanapun, beliau dimaklumkan keputusan saringan PCR positif pada 17 Disember.

“Saringan dijalankan terhadap 57 kontak rapat mendapati 10 lagi kes positif terdiri daripada ahli rombongan umrah bersama kontak rapat lain, menjadikan jumlah kumulatif 11 kes. Semua pesakit berserta kontak rapat telah dikuarantin dan diberi rawatan sesuai,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata seramai 457 pesakit Covid-19 di Sabah dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital serta pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah, menjadikan jumlah kumulatif sembuh 231,123 orang.

Katanya, dua kes kematian direkodkan hari ini, masing-masing satu di Sandakan dan Sipitang.