- Iklan -
Berita

Pemergian Osman satu kehilangan besar dalam politik Johor

Ketika tiada siapa yang percaya Umno boleh dikalahkan di Johor, Osman antara yang yakin ia dapat dilakukan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri besar Johor, Osman Sapian. Gambar: Facebook
Bekas menteri besar Johor, Osman Sapian. Gambar: Facebook

Pemergian bekas menteri besar, Osman Sapian, 70, yang meninggal dunia malam tadi, disifatkan satu kehilangan besar dalam politik Johor dengan ramai pemimpin menzahirkan kesedihan mereka.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad menerusi satu hantaran di Facebook menzahirkan salam takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu.

“Pemergian Osman, menteri besar Johor ke-16 merupakan kehilangan besar bagi negeri dan politik Johor.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh dan beriman.

“Jasa dan pengorbanan beliau kepada masyarakat serta pembangunan negeri Johor akan dikenang sampai bila-bila,” kata Hasni yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat rakyat dan negara khususnya negeri Johor.

Turut menzahirkan ucapan takziah Naib Presiden UMNO dan bekas menteri besar Johor Mohamed Khaled Nordin.

“Marilah kita sama-sama melapangkan masa menitipkan doa agar diterima segala kebaikan dan jasa beliau sepanjang hayatnya dan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman,” kata beliau dalam Facebook.

Sementara itu, Presiden MIC SA Vigneswaran turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Osman.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa,” katanya dalam akaun Twitternya.

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah berkata walaupun Osman, di “seberang politik”, mereka tetap kawan baik dan selalu bergurau sebab pernah berada di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Zaman beliau sebagai menteri besar Johor, pintunya sentiasa buka kepada kami dan beliau memberi kepercayaan penuh kepada barisan exconya.

“Sama-sama kami berusaha untuk memastikan 10 janji PH dilaksanakan dalam masa 100 hari. Terima kasih atas segalanya dan anda akan dikenang Tok,” katanya yang juga bekas pengerusi jawatankuasa perdagangan antarabangsa, pelaburan dan utiliti Johor.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pula menyifatkan Osman orang penting dalam Bersatu Johor.

“Allahyarham seorang yang berani. Pada awal 2017, apabila tiada siapa percaya Umno boleh ditewaskan di tempat kelahiran parti itu di Johor, beliau merupakan antara beberapa orang sahaja yang yakin ia dapat dilakukan.

“Malah, Osman sanggup membelanjakan wang sendiri untuk menggerakkan Bersatu di Johor,” kata Liew.

Osman, 70, dilantik sebagai menteri besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 susulan kemenangan PH, mulai 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.

Karier politik beliau bermula pada 1975 selepas menyertai Umno dan pernah menjadi timbalan ketua Umno Bahagian Pulai pada 1993.

Beliau kemudiannya menjadi Adun Kempas selama tiga penggal selepas memenangi kerusi pada tiga PRU, dari 1999 sehingga 2013.

Tiga tahun kemudian, Osman menyertai Bersatu dan menjadi Adun Kempas semula selepas memenangi PRU14 atas tiket Bersatu pada 2018.

Osman, 70, meninggal di rumah anak lelakinya di Damansara, Kuala Lumpur malam tadi dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin, Johor, selepas zohor tadi.