- Iklan -
Berita

Mangsa banjir di Pahang meningkat

Setakat malam tadi, 42,272 mangsa banjir ditempatkan di 280 PPS.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bot digunakan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Pahang. Sembilan daerah termasuk Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan antara yang paling teruk dilanda banjir. Gambar: Bernama
Bot digunakan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Pahang. Sembilan daerah termasuk Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan antara yang paling teruk dilanda banjir. Gambar: Bernama

Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang terus mencatat peningkatan manakala lima negeri lain termasuk Selangor menunjukkan penurunan malam ini.

Di Pahang, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 42,272 mangsa banjir ditempatkan di 280 PPS malam ini, berbanding 41,455 orang yang berada di 278 PPS petang tadi.

Daerah di negeri itu yang dilanda banjir juga masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Sementara itu, laluan di dua lebuh raya utama Pahang yang dinaiki air iaitu di Bentong ke Karak bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lanchang ke Temerloh di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) masih tidak boleh dilalui kenderaan di kedua-dua hala, menurut Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di Facebook.

Di Selangor, berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan penurunan 2,872 mangsa banjir iaitu 23,375 orang malam ini berbanding 26,247 orang petang tadi.

Malah, jumlah PPS yang beroperasi juga berkurangan kepada 128 PPS setakat ini berbanding 134 PPS, pada 4.30 petang tadi.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Cuthbert John Martin berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 165 mangsa daripada 41 keluarga setakat 8 malam ini.

“Di daerah Alor Gajah, 97 orang daripada 27 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China, manakala 68 orang dari 14 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu di daerah Jasin,” katanya dalam kenyataan.

Di Kelantan Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kelantan Zainuddin Hussin berkata jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan setakat 9 malam ini, iaitu 2,617 orang daripada 815 keluarga berbanding 2,658 orang daripada 833 keluarga, petang tadi.

Menurutnya, sebanyak 15 PPS masih dibuka melibatkan dua jajahan iaitu 10 di Pasir Mas dan lima di Kuala Krai.

Di Negeri Sembilan, pengarah APM negeri Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri ini adalah 328 orang daripada 90 keluarga di lima PPS melibatkan daerah Seremban dan Jelebu, setakat 8 malam ini berbanding 358 mangsa daripada 93 keluarga petang tadi.

Di Perak, 266 mangsa banjir masih ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak berikutan kediaman mereka masih digenangi air, kata jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak.