- Iklan -
Berita

Kerajaan gagal tangguh keputusan mahkamah berhubung kerakyatan setara

Menurut panel hakim, tiada situasi luar biasa yang boleh menyebabkan perintah Mahkamah Tinggi ditangguh.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan gagal dalam usaha menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung isu kerakyatan anak kelahiran luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin warga asing. Gambar: Bernama
Kerajaan gagal dalam usaha menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung isu kerakyatan anak kelahiran luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin warga asing. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kerakyatan anak kelahiran luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Panel tiga hakim dipengerusikan Kamaludin Md Said pada perbicaran hari ini berkata, hakim sebulat suara menolak permohonan penangguhan oleh kerajaan sementara menunggu keputusan rayuan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya berkata, penangguhan itu membabitkan hak kanak-kanak, dan bukan penghakiman berhubung wang atau barang.

“Kami berpandangan ia bukan kes biasa yang melibatkan pemilikan atau penghakiman monetari. Ia melibatkan hak kanak-kanak dan hak ini diiktiraf oleh perintah Mahkamah Tinggi.”

“Pada pandangan kami, situasi dan keadaan perlu diberikan perhatian dan responden (Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia) tidak sepatutnya dibiarkan daripada mendapat faedah hasil penghakiman pengisytiharan Mahkamah Tinggi.

“Permohonan kerajaan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi ditolak tanpa perintah kos,” kata Kamaludin, yang mempengerusikan panel hakim bersama S Nantha Balan dan See Mee Chun dalam prosiding secara dalam talian hari ini.

Peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili kerajaan sementara peguam Gurdial Singh Nijar, Joshua Andran dan Abraham Au mewakili responden dalam prosiding hari ini.

Terdahulu, kerajaan melalui kementerian dalam negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan anak kelahiran luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan keputusan penghakimannya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.

Pada 9 September, Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula Family Frontiers serta enam wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Dalam saman tersebut, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu warga Malaysia sebagai syarat untuk anak yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Mereka turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia, untuk mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan termasuk pasport dan kad pengenalan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.