Friday, January 28, 2022

Bekas ketua audit negara nafi musnahkan salinan asal laporan audit 1MDB

Menurut Madinah, laporan audit itu mengandungi maklumat dan bukti material mengenai syarikat tersebut.

Other News

Bekas ketua audit negara Madinah Mohamad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak memusnahkan salinan asal laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika mengambil alih jawatan itu daripada Ambrin Buang pada 2017 kerana ia mengandungi maklumat dan bukti yang material mengenai syarikat pelaburan strategik itu.

Madinah, 65, berkata beliau membuat keputusan itu selepas dimaklumkan tentang salinan asal laporan itu dalam satu taklimat bersama Pasukan Khas Audit (PKA) 1MDB pada 16 Mac 2017.

“Timbalan Pengarah Audit Nor Salwani Muhammad memaklumkan terdapat dua versi laporan pengauditan 1MDB dan telah menyerahkan satu-satunya versi asal laporan yang masih ada dalam simpanan beliau.

“Nor Salwani berkata tujuannya menyimpan salinan asal itu bagi mendapatkan arahan ketua audit negara yang baru (iaitu saya) sama ada ia perlu dimusnahkan atau tidak,” kata Madinah ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata Nor Salwani turut memberitahunya bahawa laporan audit 1MDB telah dicetak dua kali pada awal 2016 dan sekali lagi pada 2 Mac tahun sama.

“Laporan yang dicetak pada awal 2016 merupakan laporan muktamad untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 24 Februari 2016.

“Bagaimanapun, isi kandungan laporan ini telah diubah dengan menggugurkan beberapa perenggan di dalamnya melalui mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Ali Hamsa pada 24 Februari 2016. Nor Salwani juga memberitahu saya tarikh awal pembentangan kepada PAC telah diubah kepada 4 Mac 2016,” katanya.

Madinah berkata beliau turut dimaklumkan tentang dua perenggan yang digugurkan daripada salinan asal laporan pengauditan itu adalah perbezaan maklumat dalam penyata kewangan 1MDB dan minit mesyuarat mengenai kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) pada mesyuarat khas lembaga pengarah 1MDB pada 26 September 2009.

“Pada ketika itu, Laporan Pengauditan 1MDB telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan oleh sebab itu, saya tidak dapat mendedahkan kewujudan dua versi itu kepada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, pada 15 Mei 2018 saya telah mengklasifikasikan semula laporan tersebut sebagai dokumen terbuka berikutan kenyataan media perdana menteri yang mengarahkan ia diklasifikasikan sebagai dokumen terbuka,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri ketika itu selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Madinah berkata Nor Salwani turut memaklumkan PKA telah dijemput oleh Majlis Penasihat Kerajaan untuk membuat pembentangan pada 31 Mei 2018.

“Saya kemudian mengarahkan satu salinan asal Laporan Pengauditan 1MDB diserahkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2018.

“Selepas pendedahan saya mengenai wujudnya dua versi laporan pengauditan 1MDB pada 30 Ogos 2018, saya telah diarahkan Jabatan Perdana Menteri untuk membentangkan perkara sama dalam mesyuarat kabinet pada 23 November 2018,” katanya.

Menurut saksi itu, sejurus mesyuarat tersebut, kabinet telah mengarahkan beliau mengeluarkan kenyataan media selaku ketua audit negara mengenai beberapa perenggan di dalam laporan audit 1MDB telah diarahkan untuk digugurkan dan dipinda.

“Kenyataan media itu telah pun dikeluarkan pada 24 November 2018,” kata Madinah.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu “sekali lagi dimuktamadkan” dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles