Friday, January 21, 2022

Banjir besar landa negara ragut 27 jiwa

20 korban direkodkan di Selangor manakala tujuh kes lagi di Pahang.

Other News

Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas, sehingga kini telah mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

Dua puluh daripadanya di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata sehingga petang Selasa sebanyak 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.

Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaharu di Klang.

Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak sembilan mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat sejak Sabtu lepas sehingga awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata enam daripada mayat berkenaan ditemui di dalam beberapa rumah melibatkan lima wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui sekitar Taman Sri Muda selepas air mulai surut.

“Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada pukul 6 petang Sabtu manakala dua mangsa lelaki ditemui keesokannya pada pukul 12 tengah hari dan 2 petang, lima mayat ditemui semalam antara pukul 12 tengah hari dan 8.35 malam melibatkan empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Norazam berkata mayat seorang wanita lagi ditemui pada pukul 6.20 petang di sebuah rumah setingkat. Wanita itu dipercayai mati lemas.

Tiga mayat mangsa lemas turut ditemui di sekitar bandar raya itu, masing-masing di lampu isyarat Kemuning Utama, Seksyen 33; di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lepas; dan di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 semalam.

Korban banjir di Pahang pula melibatkan dua di Kuantan, manakala lima lagi di Bentong.

Kejadian di Bentong melibatkan fenomena kepala air di dua kawasan iaitu di kawasan sebuah pusat peranginan – satu mayat ditemui, dua masih hilang – dan di Telemong yang melibatkan penduduk kawasan itu dan sehingga petang ini empat mayat ditemui manakala seorang masih hilang.

Pada 2014 banjir besar yang melanda lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang dilapor hilang.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles