- Iklan -
Berita

Singapura sahkan 71 kes Omicron, kluster baru libat gimnasium

Kementerian kesihatan Singapura sedang melakukan pengesanan kontak bagi kes yang terlibat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penumpang tren di stesen LRT Singapura memakai pelitup muka bagi melindungi diri dari Covid-19. Gambar: Reuters
Penumpang tren di stesen LRT Singapura memakai pelitup muka bagi melindungi diri dari Covid-19. Gambar: Reuters

Singapura mengesahkan 71 kes Omicron setakat Isnin (20 Disember), dengan 65 kes import dan enam kes tempatan, menurut kementerian kesihatan (MOH) republik itu.

Kluster tiga kes Covid-19 yang dikaitkan dengan sebuah gimnasium juga dikesan pada Isnin, dengan dua kes positif varian itu sementara keputusan ujian bagi baki masih belum diterima.

“Ketiga-tiga kes telah menerima vaksin lengkap dan mempunyai simptom ringan,” kata MOH dalam satu kenyataan semalam.

MOH berkata pihaknya sedang melakukan pengesanan kontak bagi kes yang terlibat.

MOH juga berkata ketiga-tiga kes membabitkan mereka yang berusia antara 18 dan 24 tahun dan tidak mempunyai rekod perjalanan keluar negara.

MOH berkata, siasatan epidemiologi mendapati mereka melawat gimnasium itu antara 15 dan 17 Disember 2021.

Sehubungan itu, kakitangan dan pelawat pusat kecergasan tersebut dikenal pasti sebagai kontak rapat kes dan diarahkan untuk menjalani kuarantin.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH turut memberikan Amaran Risiko Kesihatan (HRW) kepada pengunjung lain yang datang ke gimnasium tersebut antara 15 dan 17 Disember.

“Mereka juga akan dihubungi oleh KKM untuk ujian PCR,” kata MOH.

MOH turut menasihatkan semua pelawat premis terbabit supaya memantau kesihatan mereka dengan teliti, dan meminimumkan interaksi sosial selama 14 hari bermula tarikh lawatan mereka.

“Mereka digalakkan untuk berjumpa doktor dengan segera jika mendapati diri mereka tidak sihat,” katanya.

Setakat 20 Disember, jumlah kes Covid-19 Singapura berjumlah 276,105 dengan rekod 815 kematian.