Thursday, January 20, 2022

PM akui wujud kelemahan pengurusan banjir

Ismail berkata semua pihak harus bertanggungjawab dalam menangani krisis banjir dalam negara.

Other News

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata tanggungjawab pengurusan bencana banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan pihak berkaitan setiap daerah memainkan peranan penting.

“Saya tidak menafikan (kelemahan) dan akan menambah baik pada masa akan datang. Tanggungjawab banjir bukan setakat kerajaan persekutuan tetapi kerajaan negeri dan frontliners adalah daerah-daerah.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hanya koordinator. Kalau dianggap kelemahan koordinasi saya tidak membela sesiapa dalam keadaan begini, bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Besar D’Sury.

Sementara itu, Ismail berkata semasa mesyuarat secara maya bersama menteri besar negeri-negeri lain pagi tadi, beliau dimaklumkan kesiapsiagaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang teratur kerana situasi banjir sering berlaku di negeri tersebut.

“Namun berbeza di Selangor, bencana yang menimpa negeri itu adalah di luar jangkaan. Cuma di Selangor ada masalah. Kita transparent (telus) dari segi ini dan saya tidak mahu melindungi sesiapa… Di negeri lain, pantai timur, banjir telah jadi seperti acara tahunan.

“Jadi semua persiapan sudah dibuat termasuk dengan data lengkap… hanya menunggu untuk buka PPS atau tidak sahaja, kedua PPS dikenal pasti dan sudah ada, setiap tahun semua akan pindah ke tempat yang sama,” katanya.

Beliau berkata peraturan membuka pusat operasi bencana mempunyai prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi iaitu apabila sebuah rumah terjejas, wajib membuka bilik gerakan.

Katanya di Selangor bukan satu rumah terjejas tetapi semua terkesan banjir dan mangsa berpindah secara serentak terutamanya di daerah Petaling dan Shah Alam.

“Saya tidak menyalahkan netizen membuat aduan, saya berterima kasih kerana terus mengadu kepada saya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles