- Iklan -
Berita

Penduduk pangsapuri Seksyen 13 Shah Alam kini 4 hari tanpa air, elektrik

Peralatan rumah rosak, sampah sarap penuhi kawasan perumahan.

Ahmad Mustakim Zulkifli dan Danisyah Dalily
2 minit bacaan
Kongsi
Baju-baju mangsa banjir digantung di kawasan kolam renang Pangsapuri Perdana Seksyen 13 Shah Alam. Penduduk pangsapuri mengalami gangguan elektrik dan air sejak banjir melanda premis kediaman itu.
Baju-baju mangsa banjir digantung di kawasan kolam renang Pangsapuri Perdana Seksyen 13 Shah Alam. Penduduk pangsapuri mengalami gangguan elektrik dan air sejak banjir melanda premis kediaman itu.

Penduduk Pangsapuri Perdana di Seksyen 13, Shah Alam bergelut untuk membersihkan kawasan perumahan mereka selepas dilanda banjir kilat besar pada Sabtu.

Kerja-kerja membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir menjadi sukar apabila sudah empat hari mereka hidup tanpa bekalan elektrik dan air.

“Kami memang tiada makanan, mengharapkan bantuan luar sahaja,” kata seorang pekerja asing, Masud Alam kepada MalaysiaNow.

Dia yang bekerja di Aeon Seksyen 14 Shah Alam tinggal di tingkat 1 di salah sebuah blok di pangsapuri itu bersama empat lagi rakannya.

Air banjir naik dengan kedalaman kira-kira satu meter, sekali gus menenggelamkan semua rumah di tingkat bawah.

Tinjauan MalaysiaNow mendapati Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan bekalan elektrik di sebahagian blok di pangsapuri itu.

Penduduk pangsapuri menjemur karpet dan bantal selepas terkena air banjir.

Ratusan kereta, motosikal dan basikal juga masih tersadai di parkir pangsapuri itu.

Sumiati seorang warganegara Indonesia yang menetap di Malaysia selama sembilan tahun dan kini tinggal bersama enam lagi ahli keluarganya juga adalah antara mangsa banjir yang terkesan.

Sumiati berkata, sudah empat hari rumahnya tidak mempunyai bekalan elektrik dan juga sumber air bersih.

“Walaupun air sudah surut pada hari Ahad namun saya dan keluarga tidak dapat membersihkan rumah kerana tiada air untuk kami gunakan untuk membersih.

“Saya terlalu sedih melihat rumah kotor dan barang-barang kebanyakannya rosak, menangis saya melihat keadaan rumah begini kerana selalunya rumah saya sentiasa dalam keadaan yang bersih,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dia berkata ramai yang datang memberikan bantuan kepada keluarganya namun barang-barang mentah seperti beras dan minyak belum dapat digunakan kerana tong gas dan tempat memasak mereka turut rosak.

Mereka kini hanya mampu bergantung kepada bantuan makanan yang diberikan oleh sukarelawan dan orang ramai.

“Saya bersyukur orang Malaysia semuanya baik hati, rakyat tak putus-putus berikan bantuan kepada kami.”

Kerja-kerja pembersihan mula dilakukan penduduk Pangsapuri Perdana Seksyen 13, Shah Alam.

Seksyen 13, Shah Alam antara kawasan yang teruk terjejas dalam banjir kali ini.

Stadium Melawati Shah Alam turut terjejas akibat banjir itu.

Sementara itu di Pangsapuri Servis Sri Acapella, air masih bertakung pada kedalaman empat meter di kawasan parkir bawah tanah.

Bagaimanapun, usaha mengepam keluar air dilakukan penduduk dengan menggunakan beberapa pam kecil.

Menurut seorang penduduk, lif tidak dapat berfungsi dan rata-rata penduduk dapat turun ke bawah.

Seperti kebanyakan mangsa banjir lain, kegusaran Masud dan Sumiati ialah bagaimana mendapatkan barangan keperluan asas rumah.