- Iklan -
Berita

Ketua WHO gesa pandemik Covid-19 ditamatkan tahun depan

Menurut Tedros Adhanom Ghebreyesus, untuk menamatkan pandemik, dunia perlu mengambil langkah sukar dan hentikan jurang ketidaksetaraan akses vaksin.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus. Gambar: AP
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus. Gambar: AP

Dunia mesti terus bersatu dan membuat keputusan sukar yang diperlukan bagi menamatkan pandemik Covid-19 pada tahun depan, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“2022 mesti menjadi tahun kita tamatkan pandemik,” kata Tedros kepada media di Geneva.

Ketika perayaan sambutan Tahun Baru semakin hampir, Tedros berkata negara perlu mengekang acara kebangsaan kerana perhimpunan ramai boleh menjadi “platform terbaik” bagi penularan varian Omicron.

Katanya, lebih baik untuk batalkan acara-acara tersebut dan menyambutnya kemudian “daripada menyambut acara Tahun Baru ketika ini mungkin boleh menyebabkan kira berduka kemudiannya.”

Sejak pertama kali Omicron dilaporkan di Afrika Selatan bulan lalu, varian membimbangkan itu sudah dikesan menular di berpuluh-puluh negara, mematahkan harapan bahawa pandemik itu akan berakhir.

WHO turut berkata varian itu menular dengan kadar yang tinggi pada ketika ini.

“Kini terdapat bukti yang konsisten bahawa Omicron merebak dengan lebih cepat berbanding varian Delta,” kata Tedros, sambil memberi amaran bahawa varian itu mempunyai keupayaan untuk menggandakan jangkitan.

“Penularannya benar-benar pantas.”

Selain peningkatan kebolehjangkitan varian itu, data awal menunjukkan varian tersebut boleh mengatasi tahap imuniti penerima vaksin.

“Semua negara perlu lebih fokus sekarang untuk menamatkan pandemik ini,” katanya.

Ketua Saintis WHO Soumya Swaminathan memberitahu sidang akhbar semalam bahawa “masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa ini akibat jangkitan varian lebih ringan (dari varian lain)”.

Beliau memberi amaran bahawa Afrika Selatan dan tempat lain yang melaporkan kadar kemasukan ke hospital yang lebih rendah akibat Omicron telah terjejas teruk dalam gelombang pandemik terdahulu.

Beliau menjangka kebanyakan kes Omicron di kawasan itu adalah jangkitan semula.

“Tingkah laku varian itu mungkin berbeza pada orang yang kurang imuniti,” katanya.

Tedros juga menegaskan, WHO yakin pandemik itu boleh diputuskan menerusi program vaksinasi secara besar-besaran, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Lebih dari 5.3 juta orang meninggal dunia sejak pandemik melanda.

Bagaimanapun, WHO yakin angka kematian melebihi rekod tersebut

Di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap Omicron, kebanyakan negara mempertingkatkan program vaksinasi dos penggalak.

Data menunjukkan dos ketiga vaksin dapat meningkatkan peningkatan terhadap varian tersebut.

Bagaimanapun WHO berulang kali menyuarakan kebimbangan bahawa program vaksinasi dos penggalak boleh menyebabkan jurang ketidaksetaraan akses vaksin akan semakin melebar antara negara kaya dan miskin.

Ketika ini, masih ramai golongan rentan di seluruh dunia masih menunggu dos pertama vaksinasi.

WHO berkata adalah lebih baik untuk mengutamakan golongan itu daripada menyediakan dos penggalak kepada orang dewasa yang telah lengkap menerima vaksin.

“Jika kita ingin menamatkan wabak pada tahun depan, kita mesti menamatkan ketidaksetaraan akses kepada vaksin ini,” katanya.