Wednesday, January 19, 2022

Keadaan tidak banyak berubah di negeri alami banjir walau cuaca baik

Di Selangor, 45 jalan masih ditutup akibat banjir yang melanda beberapa kawasannya.

Other News

Meskipun cuaca bertambah baik namun, musibah banjir yang melanda negara sejak Sabtu lepas masih tidak menunjukkan perkembangan positif yang besar.

Di Selangor, Ibu Pejabat Polis Selangor memaklumkan sebanyak 45 jalan masih ditutup, berkurangan daripada jumlah semalam iaitu 73 jalan yang melibatkan enam ibu pejabat polis daerah (IPD) negeri ini bagi laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir setakat 4 pagi tadi.

Penutupan jalan-jalan itu melibatkan IPD Kuala Langat (26), Subang Jaya (11), Sepang (4), KLIA (2) dan masing-masing satu jalan melibatkan IPD Klang Utara dan Hulu Selangor.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7.50 pagi, jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat dari 24,533 mangsa melibatkan 6,907 keluarga malam tadi kepada 24,647 mangsa dari 6,935 keluarga melibatkan 134 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal iaitu 63 orang daripada 13 keluarga pada pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka berada di tiga PPS di Kemaman dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu diramal panas sepanjang hari ini dan kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut sepenuhnya.

Di Pahang pula, jumlah mangsa banjir yang dilaporkan pagi ini adalah seramai 37,793 orang di 280 PPS yang beroperasi di sembilan daerah.

Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 21,489 orang diikuti Temerloh (6,972 orang) dan Lipis (2,084 orang) manakala daerah lain yang turut terjejas ialah Bentong, Raub, Jerantut, Bera, Maran dan Pekan.

Laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan beberapa sungai utama masih melebihi paras bahaya pagi ini termasuk Sungai Pahang di beberapa lokasi dengan trend menaik iaitu di Water Front Bera, Kampung Chenor di Maran, Lubuk Pasu Temerloh dan Kuala Sungai Chini Pekan.

ANIH Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) memaklumkan laluan yang ditutup akibat banjir sejak Ahad lepas, masih belum dibuka terutamanya di KM76 hingga KM126 Lanchang-Temerloh di LPT1 dan KM71 KL-Karak yang ditutup di kedua-dua arah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles