Thursday, January 20, 2022

Bos Mydin halalkan kerugian selepas penduduk terdesak pecah masuk premis

Ameer Ali Mydin berkata beliau memaafkan penduduk yang terdesak melakukan perbuatan itu demi kelangsungan hidup mereka.

Other News

Taikun perniagaan runcit Ameer Ali Mydin hari ini berkata beliau menghalalkan kerugian yang ditanggungnya susulan insiden penduduk pecah masuk cawangan Mydin Mart di Sri Muda semalam.

Menurut Ameer yang juga merupakan pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, beliau tidak menyokong perbuatan mencuri yang dilakukan pemecah masuk premisnya.

“Namun dalam keadaan darurat, mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup,” katanya dalam sebuah kenyataan.

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” jelasnya.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Ameer berkata beliau turut membuat laporan polis bagi tujuan tuntutan insuran akibat banjir.

“Saya buat report tapi tak suruh polis ambil tindakan terhadap mereka. Saya maafkan mereka sebab saya tahu mereka dalam keadaan susah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa sedikit terkilan kerana ada yang mengambil kesempatan mencuri barangan mahal yang bukan keperluan seperti barangan elektrik dan jam tangan.

“Tapi saya maafkan saja. Malah kita dalam Islam pun diajar untuk saling memaafi antara satu sama lain.

Semalam, media melaporkan insiden pecah masuk premis Mydin Mart di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Insiden itu berlaku selepas penduduk yang dikatakan terdesak kerana bantuan lambat sampai kepada penduduk yang terjejas banjir sehingga 48 jam.

Menurut Ameer, anggaran kerugian kerosakan barangan akibat banjir yang ditanggungnya adalah sekitar RM5 juta tidak termasuk kerugian lain untuk cawangan tersebut

“Kerugian RM5 juta tidak termasuk perbelanjaan seperti sewa, staf gaji bil air dan eletrik yang masih perlu di bayar,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya turut menghantar bantuan kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Satu lori yang boleh memuatkan limat tan biskut dihantar ke kawasan Sri Muda untuk penduduk di sana.

“Selain itu, kami juga lakukan pelbagai inisiatif seperti menjual barangan dengan harga diskaun kepada orang ramai yang membeli barangan dari Mydin untuk bantu mangsa banjir yang terjejas.” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles