- Iklan -
Berita

Putrajaya umum lebih banyak bantuan bencana, gesa penyelesaian agresif

Semua agensi kerajaan digesa untuk menangani masalah banjir yang saban tahun dialami kejiranan di beberapa kejiranan di Shah Alam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan penduduk menaiki sampan melewati sekolah berenang di Sri Muda, Shah Alam bagi mencari mangsa banjir yang memerlukan bantuan. Gambar: Bernama
Sekumpulan penduduk menaiki sampan melewati sekolah berenang di Sri Muda, Shah Alam bagi mencari mangsa banjir yang memerlukan bantuan. Gambar: Bernama

Putrajaya mengumumkan beberapa langkah untuk membantu puluhan ribu mangsa banjir termasuk mengarahkan semua agensi kerajaan untuk mengatur kerja dengan lebih “agresif” bagi menangani masalah yang saban tahun dialami kejiranan Shah Alam yang dinaiki air hujung minggu lalu sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bantuan kewangan kepada mangsa dan perniagaan yang terjejas banjir selain turut memutuskan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan pengarahan kepada semua pihak
berhubung tindakan-tindakan segera yang perku diambil di mana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjadi sekretariat utamanya.

“Mesyuarat turut bersetuju isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam perlu diselesaikan dengan kadar segera. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di sana,” kata Ismail dalam sebuah kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan krisis terbaru negara itu.

Taman Seri Muda yang merupakan kejiranan padat di Shah Alam menjadi antara kawasan yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda sebahagian besar negeri Selangor selepas hujan lebat.

Ismail berkata sejumlah 41 bot dan 16 lori dengan 321 anggota penyelamat telah digerakkan ke kawasan tersebut.

Sementara itu, Ismail berkata selain RM100 juta yang disediakan kerajaan bagi membantu mangsa terjejas, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

GLC yang menyumbang tersebut termasuk Petronas, Khazanah Nasional, Sime Darby; CIMB, Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Semalam, Ismail mengumumkan kerajaan menyediakan RM100 juta peruntukan untuk membaiki rumah dan kemudahan yang rosak akibat bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri.

Beliau turut mengumumkan bantuan RM1,000 bagi setiap isi rumah yang terjejas banjir.

Setakat pagi tadi, lebih 61,000 dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Pahang.

Klang menyaksikan mangsa banjir tertinggi di Selangor di mana ia merekodkan hampir 19,000 orang mangsa.

Banjir turut menyebabkan beberapa lebuh raya utama ditutup selain tahap ketinggian air sungai masih kekal berapa di tahap bahaya.