Sunday, January 16, 2022

Masjid Lembah Klang terima semua mangsa banjir, tidak bezakan kaum, agama

Pihak masjid berkata tidak ada orang yang patut terabai ketika krisis melanda.

Other News

Masjid di Lembah Klang membuka pintu bagi menyambut mangsa-mangsa banjir tanpa mengira kaum atau agama selepas ramai keluarga mangsa terpaksa dipindahkan dari rumah mereka ekoran hujan masih tidak berhenti sejak beberapa hari lalu.

Nazir Masjid At-Taqwa di Bukit Kapar, Selangoor, Masadan Mohsin berkata orang bukan Islam juga turut berlindung di masjid itu sejak Sabtu lalu.

Katanya, kebanyakan mangsa tinggal di kawasan sekitar masjid selain beberapa terkandas di jalan raya dan berlindung di masjid selama satu malam sebelum kembali cuba meneruskan perjalanan.

“Setakat ini 180 mangsa tidur di masjid itu berbanding 200 orang sehari sebelumnya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Beberapa orang termasuk kaum Cina terkandas di jalan raya dan datang ke masjid untuk berlindung malam tadi, mereka sudah boleh pulang hari ini.

“Namun masih ada penduduk dari keluarga Melayu dan India yang tidak boleh pulang ke rumah masing-masing lagi.”

Hal ini adalah ekoran tahap air banjir lambat turun bagi membolehkan jalan raya dilalui.

Masadan turut berkata ada rumah-rumah yang musnah akibat banjir.

Katanya, penduduk yang rumahnya musnah mungkin akan berada di masjid itu untuk beberapa hari lagi.

Sementara itu, ustaz Izzat dari Majid Al Madaniah USJ 18 berkata beberapa kawasan dilanda banjir di Puchong dan Subang Jaya masih lagi tidak bertambah baik.

“Kami terima lebih ramai mangsa malam ini,” katanya.

“Kami anggarkan sekitar 600 orang ketika ini berlindung di masjid.”

Menurutnya, kapasiti maksimum masjid itu hanya 500 orang, namun ramai yang terkandas akibat banjir, katanya.

“Kami anggarkan situasi ini mungkin akan berterusan selama seminggu.

“Kami akan siap sedia buat yang terbaik ketika ini.”

Masjid yang diurus Izzat masih belum menerima mangsa yang bukan Islam, namun dia berkata semua orang dialu-alukan untuk berlindung di masjid itu.

Buat masa sekarang, pihak masjid sedang cuba untuk mendapatkan selimut dan bantal bagi mereka yang terpaksa bermalam.

Situasi yang sama turut berlaku di Masjid Al Falah Seksyen 9, Shah Alam, yang kini memberi perlindungan kepada 120 orang mangsa.

Pemimpin masjid Yusoh Latiff berkata tidak ada masalah orang terlalu ramai di masjid itu kerana mangsa akan dipindah ke tempat lain juga.

Beliau berkata semua orang dialu-alukan tidak kira kaum atau agama, sambil turut menambah tidak ada orang yang terabai akibat banjir yang melanda ketika ini.

“Majoriti penduduk di sini adalah orang Melayu, kerana itu ramai mangsa yang berlindung di sini adalah orang Melayu.

“Namun ada juga yang bukan Islam tolong bantu mangsa banjir dengan menjadi sukarelawan di masjid,” katanya.

“Bila ada krisis, tak boleh ada seorang pun diabaikan. Kami alu-alukan semua orang untuk datang ke masjid. Layanan sama kepada semua orang.”

Sementara itu, Izzat berkata penduduk Malaysia adalah orang yang paling baik dalam berdepan krisis, semua orang cuba untuk membantu mangsa dengan cara masing-masing.

“Kami terima banyak derma, keperluan asas seperti air, makanan, pakaian dan lampin,” katanya.

“Orang datang ke masjid sehingga melebihi kapasiti, namun bantuan tak putus daripada orang lain. Bantuan dari warga Malaysia terus datang tak berhenti.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles