Friday, January 21, 2022

Lebih 61,000 mangsa banjir di Selangor, Pahang dipindah ke PPS

Sementara itu, bilangan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan.

Other News

Walaupun hujan lebat berpanjangan dilihat semakin reda setakat tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Selangor dan Pahang terus meningkat dengan lebih 61,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain itu, Perak dan Negeri Sembilan turut mencatatkan peningkatan mangsa banjir, namun jumlah itu tidak melebihi 1,000 orang.

Bagaimanapun, bilangan mangsa banjir di negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu, serta Melaka menunjukkan penurunan pada tengah hari ini berbanding pagi tadi.

Di Selangor, seramai 32,044 mangsa banjir telah ditempatkan di 162 PPS di sembilan daerah, di negeri ini setakat 10 pagi tadi.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di Twitter rasmi beliau memaklumkan daerah Klang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 18,858 orang.

Di Pahang, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan jumlah mangsa banjir di negeri ini sebanyak 29,181 orang daripada 7,738 keluarga yang ditempatkan di 242 buah PPS setakat tengah hari ini.

Daerah yang dilanda banjir juga masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan misi bantuan makanan diteruskan kepada mangsa yang terkandas di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 selain laluan KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup kedua-dua hala.

Jumlah mangsa banjir di Perak juga meningkat kepada 254 orang setakat 1.30 petang tadi berbanding 242 orang pagi tadi dan kesemua mereka ditempatkan di tiga PPS di negeri itu, menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Sekretariat Pengurusan Bencana Perak.

Tinjauan Bernama di Teluk Intan mendapati kebanyakan air di kampung-kampung masih belum surut sepenuhnya selain turut kelihatan penduduk pulang ke rumah masing-masing untuk mengambil dokumen peribadi serta barangan elektrik untuk dibawa ke PPS.

Di Negeri Sembilan pula, Pengarah APM Mohd Syukri Madnor dalam kenyataan berkata mangsa banjir di negeri itu, termasuk di Seremban dan Port Dickson, meningkat kepada 605 individu daripada 145 keluarga dengan 10 PPS dibuka setakat 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan menunjukkan penurunan setakat 12 tengah hari tadi apabila seramai 3,659 orang daripada 1,079 keluarga berada di PPS berbanding 3,801 orang daripada 1,098 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi APM Negeri Kelantan Zainuddin Hussin berkata 40 PPS dibuka melibatkan 24 buah di Kuala Krai, Pasir Mas (8), Gua Musang (5), Tanah Merah (2) dan Jeli (1).

Jumlah mangsa banjir di Terengganu juga turun kepada 158 orang daripada 38 keluarga pada tengah hari ini berbanding 288 orang daripada 68 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan ketika ini, hanya daerah Kemaman sahaja terjejas banjir dengan enam PPS beroperasi manakala dua PPS di daerah Dungun telah ditutup secara rasmi sebentar tadi.

Di Melaka, Pengarah APM Cuthbert John Martin berkata jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 718 orang daripada 158 keluarga setakat tengah hari ini berbanding 826 orang dari 183 keluarga setakat 7 pagi tadi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles