- Iklan -
Berita

Kerajaan sasar 60% penggunaan RFID pada penghujung 2022

Penggunaan kad Touch 'n Go dan SmartTAG mungkin akan diberhentikan pada penghujung 2023.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Lorong kad Touch 'n Go serta SmartTAG tetap beroperasi di semua lebuh raya dan ia hanya akan diberhentikan secara berperingkat, mengambil kira kepada kadar penggunaan RFID dan kesediaan lorong RFID.
Lorong kad Touch 'n Go serta SmartTAG tetap beroperasi di semua lebuh raya dan ia hanya akan diberhentikan secara berperingkat, mengambil kira kepada kadar penggunaan RFID dan kesediaan lorong RFID.

Kementerian kerja raya (KKR) menyasarkan 60% penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi pembayaran tol pada akhir 2022, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur Joseph Kurup berkata penggunaan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG mungkin akan diberhentikan pada penghujung 2023.

“Kita memahami kebimbangan yang disuarakan semua pengguna lebuh raya dan ingin dijelaskan bahawa buat masa ini, lorong kad Touch ‘n Go serta SmartTAG tetap beroperasi di semua lebuh raya dan ia hanya akan diberhentikan secara berperingkat, mengambil kira kepada kadar penggunaan RFID dan kesediaan lorong RFID,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan senator Aknan Ehtook mengenai perancangan kementerian itu berhubung penggunaan RFID.

Selain itu, Arthur menjelaskan kos RFID adalah jauh lebih murah berbanding Touch ‘n Go serta SmartTAG, selain tidak mempunyai kos penyenggaraan seperti menggantikan bateri sebagaimana penggunaan SmartTAG serta mempunyai kemudahan menambah nilai secara dalam talian.

“Di lorong RFID, kita boleh mendapat laluan sebanyak 1,000 kenderaan sejam, tetapi Touch ‘n Go hanya 550 kenderaan sejam sahaja, bermakna teknologi (RFID) ini memang boleh bantu mengurangkan masalah kesesakan di plaza tol.

“Kerajaan sekarang akan beri diskaun sebanyak RM10 sekiranya kita membeli RFID melalui dompet elektronik atau e-wallet, pada masa sama kita masih lagi mengkaji beberapa kaedah untuk memberikan insentif tambahan seperti pembeli kereta baharu supaya RFID akan dipasang dalam kereta tersebut,” katanya.

Arthur berkata demikian menjawab soalan tambahan senator Seruandi Saad sama ada kerajaan berhasrat memberikan pemasangan percuma atau subsidi kepada pengguna yang beralih dari Touch ‘n Go dan SmartTAG kepada RFID bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung pengguna.