- Iklan -
Berita

KDN akan keluarkan surat pendaftaran Muda, kata Hamzah

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa pemimpin parti.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama

Kementerian dalam negeri (KDN) akan mengeluarkan surat pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa pemimpin parti.

“Saya tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh mahkamah, kita akan keluarkan surat pendaftaran untuk Muda,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa hari ini.

Turut hadir pada tinjauan itu ialah Ketua Setiausaha KDN Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali serta Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.

Pada 14 Disember lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan menteri dalam negeri mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu untuk mencabar keputusan menteri dalam negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar Muda sebagai sebuah parti politik.