- Iklan -
Berita

3 mayat mangsa banjir Telemong ditemui

Dua mayat wanita dan satu lelaki ditemui pasukan mencari dan menyelamat hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk tempatan duduk di tingkat atas bagi menyelamatkan diri daripada banjir Kampung Sungai Serai, Hulu Langat.
Penduduk tempatan duduk di tingkat atas bagi menyelamatkan diri daripada banjir Kampung Sungai Serai, Hulu Langat.

Dua mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu yang dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Mayat pertama ditemui pada pukul satu tengah hari manakala mayat dua wanita ditemui pada 1.20 tengah hari dan 2 petang, kira-kira dua hingga 5 kilometer dari kawasan mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohd Sufian Yakob berkata operasi mencari dan menyelamat bermula 9 pagi ini di kawasan mereka dilapor hilang.

“Setakat ini kami telah jalankan operasi sehingga lima kilometer radius,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Semalam Bernama melaporkan polis menerima laporan berhubung kehilangan lima orang dalam kejadian di Telemong, Bentong, Pahang.

“Saya mengesahkan lima orang itu dipercayai hilang…saya juga menerima laporan berhubung satu penemuan mayat tetapi saya perlu mengesahkannya,” kata Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar kepada Bernama.

Terdahulu Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Telemong Lai Wah Foong berkata laluan masuk ke tempat kejadian sebelum ini tidak boleh dilalui susulan kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.