Tuesday, January 18, 2022

Usaha menyelamat ratusan penduduk Bukit Lanchong terperangkap diteruskan

Banjir besar menyebabkan ban kawasan itu pecah sehingga menyebabkan mereka terperangkap dan tidak boleh menyelamatkan diri.

Other News

Usaha menyelamat mangsa banjir di Bukit Lanchong, Subang Jaya masih berjalan setakat 9 pagi ini berikutan ratusan lagi penduduk masih terperangkap dalam bencana banjir besar yang melanda Lembah Klang sejak semalam.

Bot-bot daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Tentera Malaysia masih berulang-alik dari kawasan banjir ke tempat selamat.

Penduduk mula diselamatkan dan dipindahkan sejak malam semalam. Banjir dilaporkan semakin memburuk apabila ban pecah pada sebelah petangnya sehingga mengakibatkan mereka terperangkap dan tidak mampu keluar dari kawasan perumahan mereka.

Penduduk juga dilihat keluar bersama keluarga sehelai sepinggang dan membawa barangan asas.

Sebelum itu, mereka menggunakan media sosial untuk meminta bantuan.

“Saya diselamatkan pukul 3 pagi, anak-anak saya lima orang diselamatkan sejam kemudian. Kami semua tersangkut dekat punca air di kawasan rumah,” kata seorang penduduk, Norazidah Abdullah kepada MalaysiaNow.

“Kalau ikutkan kawasan kami tinggi, tapi sebab ban pecah, itu yang air keluar, mendadak.”

Menurutnya, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk dialami selepas dua dekad dia tinggal di kawasan ini.

Ketika diselamatkan, katanya, paras ketinggian air banjir telah menenggelamkan keseluruhan rumahnya.

Keadaan banjir di Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), bertambah.

Hujan berterusan selama dua hari di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan-jalan utama yang dinaiki air.

Melalui perkongsian orang awam di media sosial, jalan raya dan penempatan di Selangor dinaiki air antaranya di Shah Alam dan Pelabuhan Klang dan suara-suara meminta bantuan daripada individu yang terperangkap akibat banjir memenuhi media-media sosial.

Keadaan itu telah menyebabkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memohon bantuan daripada kerajaan persekutuan bagi menangani masalah banjir dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya berlaku hari ini di beberapa kawasan di ibu negara, Perak, Pahang dan Selangor.

Beberapa kawasan juga turut dikeluarkan amaran waspada melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles