Friday, January 21, 2022

Tarikh pilihan raya bukan ditentukan Umno, kata Muhyiddin

Sebaliknya ia keputusan bersama parti terutama komponen PN bersama perdana menteri.

Other News

Keputusan untuk melaksanakan pilihan raya umum seterusnya bukan ditentukan oleh Umno sahaja, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, beliau berkata berkata, semua parti terutama komponen Perikatan Nasional (PN) akan berbincang bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk tentukan masa yang sesuai.

“Bukan Umno saja yang tentukan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung tahunan Ke-4 Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semalam yang menyatakan pimpinan parti itu akan mempertimbangkan satu usul bagi mengawalkan tarikh pilihan raya.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu turut mengingatkan bahawa sokongan kepada Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri dan pembentukan kerajaan hari ini adalah berasaskan terma-terma tertentu yang telah dipersetujui.

“Itu salah satu daripada terma (penentuan tarikh perbincangan PRU).

“Selagi terma ini dipatuhi, selagi itulah kita memberikan sokongan sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya,” tegasnya.

Malah, menurut Ahli Parlimen Pagoh itu Ismail turut mengakui Umno kembali memegang tampuk kerajaan adalah disebabkan sokongan daripada PN.

“Bukan kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi majoriti di Parlimen, tetapi kerana sokongan yang diberikan oleh parti dalam PN, GPS, PBS dan beberapa ahli parlimen bebas.

“Jadi saya ingin berpesan kepada individu tertentu di dalam Umno. Hormatlah sedikit dan jangan lupa diri,” kata beliau.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengingatkan ahli parti supaya sentiasa terus berpegang kepada matlamat penubuhan Bersatu iaitu menentang kleptokrasi serta berwaspada terhadap usaha kumpulan tersebut untuk kembali berkuasa dengan cara tiup daya dan muslihat.

“Jaga-jaga, kleptokrasi boleh kembali bermaharajalela sekiranya kita lemah dan leka,” katanya.

“Kita tahu kumpulan ini masih cuba melakukan pelbagai tipu daya dan muslihat untuk kembali berkuasa.

“Mereka sedang menjunggi tibanya masa pilihan raya untuk melaksanakan perancangan mereka.”

Muhyiddin merujuk kepada kumpulan kluster mahkamah Umno yang diketuai Zahid dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles