- Iklan -
Berita

PN pertimbang kerjasama jika PH lakukan rombakan besar-besaran, kata Muhyiddin

Muhyiddin berkata berdasarkan pengalamannya bersama PH, tidak mungkin PN boleh bekerjasama dengan gabungan itu dalam bentuk sedia ada.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana delegasi mendengar ucapan pemimpin ketika Perhimpunan Agung Tahunan ke-4 Bersatu.
Suasana delegasi mendengar ucapan pemimpin ketika Perhimpunan Agung Tahunan ke-4 Bersatu.

Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) boleh dipertimbangkan sekiranya berlaku rombakan besar-besaran dalam gabungan itu, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata berdasarkan pengalamannya bersama PH sebelum ini, tidak mungkin PN boleh bekerjasama dengan gabungan itu dalam bentuk sedia ada.

“Bukannya kita tak suka perpaduan, cuma ada banyak perbezaan ketara,” katanya pada sidang media Perhimpunan Agung tahunan ke-4 Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.

“Dulu saya ada pengalaman di situ, sebab itu kita buat keputusan untuk meninggalkan PH.”

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron supaya PH dan PN bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Idris yang merupakan calon PH tewas ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menyatakan agak sukar untuk gabungan itu mendapatkan sokongan sekiranya gabungan itu memilih untuk bergerak sendirian tanpa kerjasama parti lain.

Sebelum penubuhan PN, Bersatu merupakan anggota PH yang bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional pada PRU14.

22 bulan selepas bersama kerajaan PH, Bersatu meninggalkan gabungan itu untuk membentuk kerajaan bersama Umno, PAS, GPS dan SAPP.

Muhyiddin berkata, antara faktor PN tidak bersedia bekerjasama adalah disebabkan salah satu parti komponen PH dilihat sebagai parti yang tidak pro-Melayu dan Bumiputera.

“Ada banyak sejarah (parti itu) mempertikaikan hak dan sebagainya.

“Jadi kita tak boleh bersama mereka.

“Sebab itu saya tidak fikir perkara itu boleh berlaku kecuali ada rombakan besar berlaku dalam PH,” katanya tanpa menyebut nama parti tersebut, tetapi dipercayai merujuk kepada DAP.

Dalam perkembangan lain, bekas perdana menteri itu turut memberi jaminan Bersatu tidak akan “mencantas” kerusi yang disandang parti sekutu PAS, di negeri yang ditadbir parti itu pada PRU15.

Katanya, PN akan pastikan tiada pertembungan berlaku sesama parti komponen dalam bagi menjamin kemenangan gabungan tersebut.

“Dalam PN, kita sudah ada persefahaman tetapi kita perlu perhalusi bagaimana nak selesaikan pembahagian kerusi dalam pilihan raya akan datang.

“Yang penting jangan ada pertembungan.

“Kita mesti saling menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain sebagai ramuan untuk kemenangan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kehadiran Bersatu juga sudah diketahui umum di negeri-negeri pimpinan PAS, justeru, isu pembahagian kerusi tidak akan menjadi isu.

“Cara terbaik adalah mengelakkan salah faham.

“Contohnya pada PRN Melaka, PN tak bertembung dan lawan sesama sendiri. Itu adalah prinsip menang bersama,” tambahnya.