- Iklan -
Berita

Bersatu lancar tabung bantuan banjir dengan dana permulaan RM1 juta

Dana itu akan digunakan bagi membantu orang ramai yang terjejas akibat kejadian banjir di seluruh negara.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Bersatu melancarkan tabung bantuan banjir dengan dana permulaan sebanyak RM1 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, kata presidennya, Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, cadangan itu merupakan saranan ahli majlis pimpinan tertinggi dan ahli parti turut diseru menyumbangkan segala yang terdaya bagi meringankan beban rakyat yang terjejas teruk ekoran bencana tersebut.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri turut mengarahkan semua jentera parti dan jentera parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk turun ke kawasan yang terjejas untuk bantu semua mangsa terlibat sebaik selesai Perhimpunan Agung Tahunan ke-4 hari ini.
“Jika terpaksa pulang selepas menghadiri perhimpunan ini atau terpaksa balik sekarang, maka pergilah.
“Kita tidak akan halang, yang penting ialah rakyat.
“Kita adalah parti yang mendokong dan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat,” katanya ketika berucap di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh turut melahirkan rasa dukacita di bencana banjir yang melanda negara dan kesannya terhadap orang ramai.
“Ramai yang juga terkandas, kenderaan mereka juga rosak kerana air, dimasuki air dan sebagainya,” katanya.
“Saya sedar bahawa di antara kita (ahli Bersatu), ada juga yang terkandas dan tidak dapat sertai perhimpunan agung ini.
“Tidak mengapa, saya sedar saudara-saudara di sini sebahagian besarnya bimbang keadaan ini akan membawa kesan buruk kepada penduduk di kawasan masing-masing.”
Tambahnya, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada hari ini terpaksa diteruskan kerana ini adalah kehendak Perlembagaan Parti dan Akta Pertubuhan 1966.
Keadaan banjir di Lembah Klang sejak semalam terutamanya di Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), bertambah.
Hujan berterusan kadang kala lebat selama tiga hari di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan-jalan utama yang dinaiki air.