- Iklan -
Berita

BN putuskan bergerak sendirian hadapi PRU15, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 mestilah kerajaan yang mendapat majoriti besar.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Barisan Nasional akan berdepan pilihan raya umum akan datang secara bersendirian dengan Umno mengetuai gabungan itu.
Barisan Nasional akan berdepan pilihan raya umum akan datang secara bersendirian dengan Umno mengetuai gabungan itu.

Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno tetap dengan pendirian untuk bergerak sendirian dan tidak mahu terikat dengan mana-mana parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan.

Beliau yang juga timbalan presiden Umno berkata ini kerana kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 itu mestilah kerajaan yang mendapat majoriti besar sekali gus membawa kepada kestabilan politik selain berpegang kepada resolusi Perhimpunan Agung Umno 2020 yang tidak mahu kerjasama dengan parti lain.

“Jelas sekali Umno ambil jalan untuk kita berseorangan (PRU15) dan tidak lagi terikat mana-mana parti, kita tidak mahu sebarang ikatan yang boleh mengekang tetapi apa jua rundingan atau ikatan adalah selepas PRU15.

“Kalau parti tidak boleh buat maka elok difikirkan bersama atau membuat ikatan dengan parti yang boleh dijadikan rakan kongsi untuk bina kerajaan yang kuat, itu juga antara usul dicadangkan dalam Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rembau tadi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ditanya sama ada soal kedudukan perdana menteri dibincangkan dalam persidangan itu, Mohamad merangkap ahli Dewan Undangan Negeri Rantau berkata tiada sebarang usul mengenai kedudukan PM dibangkitkan selain meletakkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Tak ada apa-apa perbincangan, tidak timbul soal sokong atau tidak sokong PM, kita ikut keputusan Majlis Tertinggi tempoh hari, kita beri mandat kepada lima orang kepimpinan tertinggi parti, namun terpulang kepada Bahagian masing-masing (usul kedudukan PM), kita tidak berikan apa-apa guideline (garis panduan),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata perkara berkaitan pemilihan parti sama ada diadakan sebelum atau selepas PRU-15 akan turut diputuskan selepas perbincangan bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno terlebih dahulu.