- Iklan -
Berita

Banjir di Klang, 3 pusat pemindahan mangsa dibuka

PPS yang dibuka adalah di SRA Kampung Delek, SRA Pulsu Indah dan Sekolah Kebangsaan Telok Gong melibatkan 113 orang mangsa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Hujan lebat daripada semalam telah menyebabkan air naik di sekitar kawasan Klang. Gambar: Facebook
Hujan lebat daripada semalam telah menyebabkan air naik di sekitar kawasan Klang. Gambar: Facebook

Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Klang susulan beberapa kawasan penempatan penduduk khususnya di Pelabuhan Klang dinaiki air ekoran hujan lebat sejak 2 petang semalam dan berterusan sehingga kini.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis ketika dihubungi berkata setakat 10 malam tadi, PPS yang dibuka adalah di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek, SRA Pulsu Indah dan Sekolah Kebangsaan Telok Gong yang melibatkan 113 orang mangsa.

“Antara kawasan di Klang yang dinaiki air setinggi satu meter adalah di Kampung Nelayan, Teluk Gong, Pelabuhan Klang yang membabitkan 106 orang mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya giat menjalankan kerja-kerja menyelamat dan membawa mangsa-mangsa yang dikhuatiri masih berada di kawasan dinaiki air itu.

Sementara itu, di daerah Kuala Langat setakat 7 petang tadi, bomba turut menyelamat sebuah keluarga terdiri daripada seorang wanita warga emas berusia sekitar 60-an dan empat orang kanak-kanak berusia lingkungan empat dan lima tahun susulan kawasan rumah mereka di Jalan Nangka, Banting dinaiki air pada kedalaman satu meter.

“Kesemua mereka telah berjaya dibawa ke tempat selamat dan menunggu untuk dibawa ke PPS.

“Kita juga berjaya menyelamat satu lagi keluarga di sebuah rumah di Jalan Perepat, Taman Dato Hormat, Telok Panglima Garang susulan air naik pada kedalaman satu meter terdiri daripada dua wanita berusia 30-an dan seorang lelaki sekitar 50-an.

“Mereka ini telah dihantar ke PPS di Dewan Telok Panglima Garang,” katanya yang menjelaskan paras air di kawasan berkenaan setakat 10 malam ini juga sudah mula surut.