- Iklan -
Berita

Polis keluar 11 kompaun terhadap 3 parti, calon bebas

PKR dan GPS menerima beberapa kompaun kerana melanggar SOP sepanjang tempoh kempen PRN Sarawak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera-bendera parti dipacak sepanjang jalan bagi kempen PRN Sarawak yang akan diadakan esok.
Bendera-bendera parti dipacak sepanjang jalan bagi kempen PRN Sarawak yang akan diadakan esok.

Polis telah mengeluarkan 11 kompaun berjumlah RM36,000 terhadap beberapa parti politik dan individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) bermula 6 Disember hingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail berkata empat kompaun dikeluarkan terhadap PKR, Gabungan Parti Sarawak (tiga), Parti Demokratik Progresif (satu), calon bebas (satu) dan individu awam (dua).

“Pihak polis juga menerima 185 laporan polis dan membuka 71 kertas siasatan sejak bermula 30 November hingga semalam. Namun setakat ini belum ada lagi individu yang dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak sempena hari mengundi yang akan berlangsung esok.

Beliau berkata kertas-kertas siasatan itu melibatkan perbuatan khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu serta fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Berkenaan penugasan anggota polis pada hari pengundian PRN12 esok, beliau berkata 7,434 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di 1,866 pusat mengundi di seluruh negeri Sarawak, membabitkan 3,555 saluran.

Aidi berkata selain itu 3,142 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga akan membantu anggota polis pada hari pengundian esok.

“Kami juga menubuhkan 47 pasukan Op Cantas dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak dan 109 pasukan Op Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua daerah,” katanya.

Mengenai kejadian seorang lelaki ditembak mati di Jalan Simpang Tiga-Batu Lintang pada Rabu malam, Aidi berkata hasil bedah siasat menunjukan dua kesan tembakan di bahagian paha dan usus lelaki itu.

Pihaknya masih menunggu laporan penuh termasuk keputusan ujian dadah serta alkohol dan menambah lelaki itu bukan individu yang dikehendaki oleh polis kerana kesemua 14 kes jenayah lampaunya telah selesai.