- Iklan -
Berita

Perpecahan undi pembangkang beri kelebihan kepada GPS di Dudong

Calon GPS dari PDP, Tiong King Sing disokong penyandang kerusi berkenaan Tiong Thai King juga akan menyebabkan peralihan sokongan masyarakat Cina kepada gabungan itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas membawa bendera Gabungan Parti Sarawak untuk dipacakkan di sekitar pusat bandar Kuching, Sarawak sempena PRN yang akan diadakan 18 Disember ini.
Seorang petugas membawa bendera Gabungan Parti Sarawak untuk dipacakkan di sekitar pusat bandar Kuching, Sarawak sempena PRN yang akan diadakan 18 Disember ini.

Persaingan lapan penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dijangka memberi kelebihan buat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Hal ini kerana calon parti pembangkang dan bebas yang terlalu ramai akan memecahkan undi dalam kalangan mereka yang tidak mahu memilih GPS, sedangkan mereka yang memilih GPS pula akan memastikan ia meraih undi terbanyak bagi menyaingi pencabar.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata antara lima parti pembangkang yang memberi cabaran kepada GPS (tidak termasuk dua calon bebas), DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) adalah yang paling dominan dalam meraih sokongan pengundi.

“Secara umumnya, mereka yang propembangkang kini mempunyai pilihan untuk mengundi DAP atau PSB berbanding hanya DAP seperti dahulu. Dalam erti kata lain, PSB memberikan tentangan kepada DAP,” katanya kepada Bernama.

Menurut Lee, faktor calon GPS daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing yang disokong kuat oleh penyandang kerusi berkenaan Tiong Thai King dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga akan menyebabkan peralihan sokongan masyarakat Cina kepada gabungan itu.

“Bagi saya, Presiden SUPP Dr Sim Khui Hian dan pasukannya telah melakukan usaha yang luar biasa untuk meyakinkan pengundi memilih Tiong King Sing dan saya kira masyarakat Cina akan mempertimbang hal ini,” katanya.

Untuk rekod, DUN Dudong adalah kerusi tradisi yang ditandingi SUPP tetapi telah diberikan kepada PDP pada pilihan raya kali ini.

Meskipun mengakui terkejut dengan perubahan itu, Dr Sim dilaporkan sebagai berkata mereka tetap menyokong Tiong demi memastikan GPS memenangi kerusi berkenaan.

Tiong, yang pertama kali bertanding di peringkat DUN, berdepan calon PSB Wong Hie Ping, Jane Lau Sung Yee mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK), Julius Enchana Jasper Ancho mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Paul Ling Fong (DAP) dan Josephine Lau Kiew Peng daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Turut berentap melawan Tiong, yang juga merupakan ahli Parlimen Bintulu, ialah dua calon bebas iaitu Fadhil Mohamad Isa dan Engga Unchat.

Lee berkata berdasarkan pemerhatiannya di lapangan, Tiong juga merupakan calon paling digemari berbanding calon lain kerana perwatakan beliau yang agresif dan komited dalam menyuara dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Apabila berada di lapangan, saya agak terkejut mendapati bahawa ramai masyarakat Cina menyukai personaliti agresif beliau itu. Tambahan beliau seorang pemimpin yang boleh berbahasa Iban yang penting untuk beliau berkomunikasi dengan penduduk Iban yang menjadi sebahagian daripada populasi DUN Dudong,” katanya.

Berbeza dengan calon lain, Lee berkata masalah utama mereka ialah kurang dikenali oleh masyarakat.

Sementara itu, dalam kalangan pemimpin komuniti, perwatakan Tiong yang merendah diri telah berjaya menambat hati penduduk.

”Beliau tidak sombong, selalu pergi jumpa orang dan beri bantuan untuk tokong kami. Saya yakin beliau akan menjadi wakil rakyat yang baik sekiranya menang di sini (DUN Dudong),” kata penghulu Salim, Ten Kim Loong, 63.

Di lapangan, tinjauan Bernama mendapati Tiong telah memanfaatkan tempoh berkempen dengan menggunakan pelbagai platform untuk mendekati pengundi, antaranya media sosial seperti Facebook, kain rentang serta papan iklan yang dipaparkan dalam pelbagai bahasa iaitu Melayu, Cina, Inggeris dan Iban.

Meskipun tidak mengundang media dalam aktiviti kempennya, jentera Tiong sentiasa memuat naik gambar di Facebook yang menunjukkan beliau bertemu pengundi di rumah panjang Iban bagi menyelami permasalahan mereka.

Ini kerana DUN Dudong adalah antara kerusi subbandar di Sarawak yang dibenarkan berkempen secara bersemuka.