- Iklan -
Berita

Guan Eng minta 10% keuntungan projek terowong, kata saksi

Saksi utama kes Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata beliau terkejut dengan permintaan yang didakwa dilakukan oleh bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng hari ini diberitahu bahawa pemimpin DAP itu meminta 10% keuntungan daripada projek terowong bawah tanah di Pulau Pinang dalam sebuah perbualan dalam kereta pada 2011.

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan pengarah syarikat Consortium Zenith BUCG, kontraktor utama projek itu berkata permintaan oleh Lim yang memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang ketika itu mengejutkan beliau.

“Ketika itu saya agak terkejut kerana perkara itu keluar dari mulut YB Lim Guan Eng dan saya berfikir sejenak tentang permintaan itu.

“(Ini) kerana saya tidak sangka ia akan keluar dari YB Lim Guan Eng yang saya ingat selama ini adalah orang yang menentang rasuah,” katanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini seperti dilaporkan Malaysiakini.

Zarul adalah saksi utama perbicaraan di mana Lim sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika kejadian dikenakan pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM3.3 juta bagi membantu syarikat itu mendapatkan projek terowong bawah tanah.

Pertuduhan itu juga berkait dengan empat pertuduhan rasuah lain terhadapnya berhubung projek itu.