Friday, January 21, 2022

GPS dijangka tidak hadapi cabaran rebut kerusi Bukit Saban

Meskipun kerusi itu dijangka dapat dikekalkan oleh GPS pada PRN12 ini, namun ada kemungkinan besar majoritinya akan menurun berbanding sebelum ini.

Other News

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka tidak akan menghadapi cabaran hebat dalam pertandingan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) Sabtu ini.

Penganalisis politik Dick Lembang Dugun berkata jawatan timbalan ketua menteri Sarawak memberi kelebihan kepada penyandang kerusi DUN itu Douglas Uggah Embas.

“Penduduk akar umbi di Bukit Saban sudah pasti tidak ingin kehilangan kerusi Timbalan Ketua Menteri, dan ini merupakan salah satu faktor menyumbang kepada persoalanan kenapa beliau akan dapat terus mempertahankan kerusi Bukit Saban,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata meskipun kerusi itu dijangka dapat dikekalkan oleh GPS pada PRN12 ini, namun ada kemungkinan besar majoritinya akan menurun berbanding sebelum ini, kerana pesaingnya, terutama calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) juga tidak kurang hebatnya.

Menurutnya calon PSB Andria Dundang @ Andria Gelayan turut dikenali di peringkat akar umbi di kawasan itu, namun perpecahan undi yang bakal berlaku antara PSB dan PKR dijangka memberi kelebihan kepada penyandang.

“Namun begitu apa-apa boleh berlaku dalam politik…sama-sama kita tunggu keputusan untuk Bukit Saban setelah selesai pengiraan undi nanti,” katanya lagi.

Dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Bukit Saban, selain Andria, seorang lagi pencabar Uggah ialah calon PKR Mikail Mathew Abdullah.

Sementara itu tuai rumah Saga Unggot, 63, di sini berkata Uggah adalah pemimpin yang mampu membawa pembangunan ke kawasan Bukit Saban.

“Ikhlas menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, dia banyak membawa kemajuan  contohnya rumah panjang kami Nangga Ulai, Ulu Rimbas yang kini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, ada jalan raya, dan ia juga membantu penduduk dalam pertanian,” katanya.

Katanya keprihatinan Uggah dalam menjaga kebajikan penduduk di kawasan DUN Bukit Saban juga menjadikan beliau dikenali ramai sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan dihormati rakyat disitu bermula dari anak kecil sehingga golongan tua.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles