- Iklan -
Berita

Batu Kawah harap hari gemilang kembali semula

Bandar itu alami pelbagai peristiwa jatuh dan bangun, namun tidak pernah jalani PRN seperti kali ini.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Tidak seperti sebelum ini, kempen pilihan raya Batu Kawah kelihatan suram tanpa ceramah dan kehadiran calon.
Tidak seperti sebelum ini, kempen pilihan raya Batu Kawah kelihatan suram tanpa ceramah dan kehadiran calon.

Ketika panas matahari mula terasa ketika bekerja di kedai yang terletak di bandar Batu Kawah, Aunty Foh tahu dia perlu berhenti untuk makan tengah hari.

Selama empat dekad, kedainya di pinggir bandar yang terletak 20km dari Kuching dan diwariskan keluarganya dari generasi ke generasi.

Dan selama empat dekad itulah, Foh dan keluarganya menyaksikan beberapa kali pilihan raya negeri (PRN) dilaksanakan di Bumi Kenyalang itu.

Namun kali ini, perbezaan suasananya sangat ketara.

“Ini satu kempen PRN yang pelik,” kata Foh kepada MalaysiaNow.

“Tak seperti PRN sebelum ini. Bila tiba waktu kempen sudah macam pesta.”

Namun kini, jalan raya kosong menunjukkan kesan pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun lalu.

Seorang wanita berbangsa Cina menjalani upacara keagamaan di Tokong Guang Loong di Batu Kawah, Sarawak.

Di bawah langkah kesihatan Covid-19, kebanyakan aktiviti-aktiviti fizikal dan kempen bersemuka adalah dilarang.

Walaupun bendera parti politik tergantung di jalanan, poster calon memenuhi seluruh bandar itu, namun calon dan parti tidak kelihatan hadir menemui penduduk.

Sebahagian besar kawasan-kawasan di Batu Kawah dipenuhi poster Gabungan Parti Sarawak dan calonnya, Dr Sim Kui Hian.

Gambarnya tersenyum di tengah-tengah tanglung merah tradisi yang digantung kedai-kedai di bandar itu.

Muzik tradisional Cina menceriakan suasana terdengar dari kedai-kedai itu, namun jalan raya sunyi dan sepi.

Ia jauh berbeza daripada PRN yang pernah dijalankan sebelum ini di mana bandar itu meriah dengan pelbagai aktiviti.

Rumah-rumah juga dipenuhi ahli keluarga yang akan mengundi, sementara orang ramai pula akan berkumpul mendengar ceramah dari calon-calon pilihan raya.

“Ramai yang masih tidak merasai ‘bahang’ pilihan raya ini,” kata Foh.

Menurutnya, kempen PRN kali ini “agak suram”.

Kali ini, calon pilihan raya digesa memfokuskan kempen melalui platform secara dalam talian seperti media sosial untuk mengekang penularan virus Covid-19.

Namun langkah itu menyebabkan golongan seperti Aunty Foh yang tidak begitu terdedah dengan teknologi maklumat terabai selain tidak tahu bagaimana untuk berhubung dengan calon-calon PRN.

Walaupun begitu, Foh berazam untuk keluar mengundi di pusat pengundian Sabtu ini.

“Sekurang-kurangnya masih ada poster calon dan sepanduk parti di sekitar kawasan itu, menunjukkan PRN sedang berlangsung,” katanya.

Jatuh dan bangun

Batu Kawah sudah menyaksikan banyak peristiwa jatuh dan bangun sejak beberapa tahun lalu, melalui setiap hal gembira dan menyedihkan dalam perjalanannya untuk terus bertahan.

Pada zaman kegemilangannya, Batu Kawah merupakan tempat persinggahan yang sibuk bagi peniaga yang akan mengangkut barangan mereka dengan menggunakan bot.

Pada zaman kegemilangannya, Batu Kawah terkenal dengan aktiviti ekonomi menggunakan jalan air.

Bercakap kepada MalaysiaNow, peniaga runcit Thien Fong berkata bandar itu mula berkembang lebih dari satu abad yang lalu dengan tiga kedai kayu dimiliki peniaga Cina.

“Dari tiga kedai itu, bandar itu kemudian berkembang, kini sudah ada 61 kedai runcit di kawasan ini,” katanya.

Di Batu Kawah, nampaknya banyak perkara dibuat supaya ia kekal.

“Kesemua kedai-kedai kayu yang anda lihat ini adalah apa yang dibina satu abad lalu,” kata Fong.

“Ia terus bertahan hingga hari ini. Neneak moyang kamilah perintis bandar ini.”

Namun 50 tahun lalu, jalan raya yang dibina di bandar itu menukar cara pergerakan orang ramai yang mula beralih dari sungai ke jalan raya.

Penggunaan jalan air mula berkurangan.

Namun kebelakangan ini, keadaan mula berubah lagi apabila orang ramai mula berkunjung ke bandar itu berikutan pembinaan jambatan Taman Tebing Sungai Batu Kawah siap bulan lalu.

Jambatan waterfront yang dibina untuk pejalan kaki di Batu Kawah Riverbank Park bakal menjadi kawasan tarikan baru di Sarawak.

Fasa pertama projek waterfront diselia oleh Sim, penyandang kerusi DUN Batu Kawah, ia juga merupakan sebahagian daripada usaha yang dilakukannya sebagai Adun dalam usaha mempertahankan kerusinya bagi penggal kedua.

Setelah siap, taman itu akan menyaksikan pembinaan lebih 1km laluan pejalan kaki dari Pekan Lama Batu Kawah ke Kampung Rantau Panjang, menjadikannya salah satu taman air tawar terbesar di Malaysia.

Peniaga Cina seperti Fong berharap projek itu akan membawa lebih ramai pengunjung ke bandar bersejarah itu dan pembangunan akan mengubah landskap ekonomi setempat dan menggembalikan zaman gemilangnya.

“Siniawan dan Batu Kawah mempunyai nilai sejarah dan merupakan kawasan warisan,” kata Fong.

“Pelancong boleh menaiki bot dari Kuching sehingga ke Batu Kawah dan seterusnya ke Siniawan.

“Saya harap dapat lihat bandar ini dipenuhi pengunjung,” katanya.

“Ini satu petanda baik untuk masa depan bandar ini.”