- Iklan -
Berita

Rakaman percakapan mendiang Ewe diterima sebagai keterangan kes rasuah Guan Eng

Mahkamah berpuas hati kenyataan-kenyataan itu telah diberikan oleh mediang Ewe sendiri kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan rakaman percakapan pengasas dan pengerusi eksekutif Ewein Bhd Ewe Swee Keng yang maut selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang, dua bulan lepas, diterima masuk sebagai keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin agar rakaman percakapan mendiang Ewe, 53, ditandakan sebagai eksibit dan digunakan pada perbicaraan kes berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama yang melibatkan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

“Mahkamah berpuas hati bahawa kenyataan-kenyataan itu telah diberikan oleh mediang Ewe sendiri kepada pegawai perakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa di dalam siasatan menurut Seksyen 30 Akta SPRM 2009, khususnya subseksyen 38 akta sama.

“Maka, sebarang pertikaian tentang ketidakpatuhan terhadap subseksyen tersebut ditolak. Sehubungan itu, mahkamah membenarkan rakaman percakapan Ewe diterima masuk sebagai eksibit dalam kes ini,” kata hakim itu.

Mendiang Ewe yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober lepas.

Pada prosiding sebelum ini, pasukan pembelaan yang diwakili peguam Gobind Singh Deo membantah penerimaan rakaman kenyataan itu yang disifatkan sebagai rekaan.

Pada prosiding hari ini, mahkamah juga mendengar keterangan bekas Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang Mokhtar Mohd Jait, 64, yang mengesahkan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu ditawarkan secara tender terbuka kepada Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG).

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata projek itu diberikan kepada CZBUCG melalui proses pembidaan menurut terma dan peraturan yang ditetapkan.

CZBUCG telah dilantik bagi menjalankan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu, kerana syarikat berkenaan mendapat “markah tertinggi” bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan.

Lim berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011.

Setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan bersambung esok.