- Iklan -
Berita

Putrajaya cadang tambah kuota harian pelawat VTL-Darat kepada 2,100

Azmin berkata setakat ini, tempoh kuarantin tidak dikenakan terhadap pelawat ekoran kadar vaksinasi yang tinggi di kedua-dua negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan beratur panjang di pusat pemeriksaan Woodlands di Singapura dari tambak Johor. Gambar: AFP
Kenderaan beratur panjang di pusat pemeriksaan Woodlands di Singapura dari tambak Johor. Gambar: AFP

Kerajaan bercadang meningkatkan kuota harian pengembara warga Malaysia dan Singapura menerusi kemudahan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi Laluan Darat (VTL-Darat) kepada 2,100 orang sehala mengikut perkembangan situasi wabak Covid-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata setakat ini, tempoh kuarantin tidak dikenakan terhadap pelawat ekoran kadar vaksinasi yang tinggi di kedua-dua negara.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sentiasa memantau situasi kesihatan semasa dan sekiranya terdapat sebarang indikasi berkaitan Covid-19, kementerian kesihatan akan memberi nasihat yang sewajarnya.

“Sebab itu kita membuka sempadan ini secara berhati-hati dan tidak secara mendadak, serta jumlah kuota harian ketika ini masih ditetapkan 1,440 orang untuk satu hala dan pada 20 Disember ini, sekiranya situasi membenarkan, kita akan naikkan kepada 2,100 orang pengembara setiap hari, satu hala.

“Ini membuktikan bahawa kita masih lagi memantau situasi kesihatan semasa supaya pembukaan sempadan ini tidak akan membebankan mana-mana pihak dari segi kesihatan,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Azmin menjawab soalan tambahan senator Jefridin Atan mengenai sama ada kerajaan bercadang mempertimbang tempoh kuarantin bagi pengguna kemudahan VTL sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kemasukan varian Omicron ke Malaysia.

Pada 14 Disember lepas, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri dalam kenyataan memaklumkan semua kategori pengembara warga Malaysia dan Singapura boleh memasuki kedua-dua negara menggunakan kemudahan VTL-Darat berkuat kuasa 20 Disember ini berikutan peningkatan permintaan orang ramai.