Saturday, January 22, 2022

Pemain industri terima pelaksanaan kompaun RM1 juta namun perlu garis panduan

Mereka berkata pengalaman lalu menunjukkan agensi penguatkuasaan mempunyai tafsiran berbeza terhadap SOP.

Other News

Pemain industri tidak mempunyai bantahan berhubung langkah kerajaan yang mahu menaikkan jumlah maksimum kompaun bagi syarikat yang melakukan kesalahan melanggar SOP kesihatan secara berulang, namun mereka menuntut garis panduan yang jelas dikeluarkan sebelum denda sehingga RM1 juta itu dikuatkuasakan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata perbincangan perlu diadakan dengan pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Taikun pasar raya borong Ameer Ali Mydin berkata langkah tersebut akan membolehkan syarikat perniagaan memahami isu berkait selain memberikan maklumat kepada mereka.

“Pengalaman sebelum ini menunjukkan garis panduan yang dikeluarkan tidak pernah jelas dan tertakluk kepada tafsiran pegawai penguatkuasa di lapangan,” kata Ameer, yang memiliki rangkaian pasar raya besar Mydin.

“Jika mereka bincang dengan kami apa garis panduan yang hendak dibuat, saya fikir ia adalah sangat adil.”

Rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu.

Pindaan itu antara lain membolehkan pesalah individu dikompaun sehingga RM10,000 berbanding jumlah denda sebanyak RM1,000 ketika ini.

Pindaan di bawah Seksyen 25 Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 juga turut mencadangkan syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM1 juta.

Bagaimanapun, cadangan pindaan itu mungkin akan dikaji lebih lanjut bagi menurunkan denda sehingga separuh daripada jumlah yang diletakkan dalam RUU tersebut.

Ameer berkata beliau bersetuju dengan jumlah maksimum RM1 juta kerana pandemik Covid-19 adalah perkara yang serius lebih-lebih lagi ketika negara berdepan ancaman penularan varian baru.

Bagaimanapun, beliau berkata denda itu sendiri sering berubah-ubah sama seperti garis panduan untuk operasi perniagaan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Syed Hussain Syed Husman juga berpandangan denda maksimum RM1 juta adalah wajar.

“Pesalah yang melakukan kesalahan berulang daripada syarikat besar tidak ambil serius hukuman awal yang dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan supaya tidak mengenakan hukuman berat bagi kesalahan kecil selain turut bersetuju garis panduan yang jelas perlu disediakan.

Beliau turut memberi contoh penjual burger itu yang didenda RM50,000 awal tahun ini kerana melanggar SOP.

“Garis panduan itu adalah untuk memastikan wujud keadilan bagi mereka yang tidak mampu bayar, selain mengenakan jumlah yang wajar kepada mereka yang kaut keuntungan besar namun mengabaikan SOP,” katanya.

“Kami berharap ia akan terpakai kepada pesalah di kedua-dua sektor baik swasta atau awam yang menjadi pesalah berulang.”

Sementara itu, Ameer turut memetik contoh garis panduan mengenai sanitasi yang menurutnya memaksa syarikat membuat perbelanjaan yang tidak perlu.

“Kami perlukan garis panduan yang jelas tentang apakah jenis sanitasi yang diperlukan,” katanya.

“Pemahaman kami ialah varian Omicron merebak melalui udara. Jika kami sudah sembur di udara adakah kami masih perlu lakukan sanitasi meja, tempat pemegang tangan dan eskalator?

“Adakah kita masih perlu ambil catatan suhu? Ini mungkin tidak lagi relevan memandangkan ramai yang positif Covid-19 adalah tanpa gejala. Kami tidak kesan orang yang dijangkiti dengan melaksanakan langkah itu.”

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Soh Thian Lai menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pindaan tersebut sebaliknya mencadangkan pendekatan mengenakan penalti bersasar.

Beliau berkata hanya 32,388 atau 2.7% daripada kira-kira 1.1 juta syarikat di Malaysia merupakan perniagaan besar manakala selebihnya adalah PKS.

“Jika menjadi objektif kerajaan untuk hukum syarikat bersalah yang ‘kaut jutaan keuntungan’, ia harus dilakkan dengan pendekatan berbeza dan bersasar dan bukannya menghukum majoriti syarikat yang merupakan PKS di mana mereka bergelut untuk terus beroperasi,” katanya.

Beliau menambah syarikat sedemikian mungkin terpaksa ditutup jika dikenakan denda jutaan ringgit.

Soh juga berkata “penyelesaian menang-menang” boleh dicapai jika perbincangan lanjut melibatkan semua pihak berkepentingan dengan pihak berkuasa dapat diadakan.

Beliau berkata syarikat pengilang sering diserbu dan dilawat agensi penguatkuasaan yang mempunyai “tafsiran tidak konsisten” terhadap SOP.

“Kami bimbang akan jadi sasaran sekali lagi oleh pegawai penguat kuasa dengan tafsiran SOP yang tidak konsisten kerana denda yang lebih tinggi daripada pindaan Akta 342 boleh mewujudkan peluang berlakunya salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles