Friday, January 21, 2022

Kerajaan pantau impak Omicron sebelum nasihatkan Majlis Raja-Raja mengenai SOP masjid

KKM menerima banyak permintaan daripada pelbagai pihak supaya SOP di masjid dapat dilonggarkan dan membenarkan jemaah solat tanpa penjarakan.

Other News

Kementerian kesihatan (KKM) akan memantau impak penularan varian Omicron sebelum menasihatkan Majlis Raja-Raja berhubung keputusan mengenai prosedur operasi standard (SOP) di masjid.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata perkara itu sudah berada dalam perhatian apabila kementerian itu menerima banyak permintaan daripada pelbagai pihak supaya melonggarkan syarat SOP di masjid termasuk membenarkan para jemaah solat tanpa penjarakan.

“Bukannya kita tidak mahu benarkan,” katanya pada sidang media secara hibird hari ini.

“Cuma kita mahu beri tempoh masa beberapa minggu lagi untuk lihat kesan gelombang Omicron sebelum boleh keluarkan nasihat untuk dipersembah bagi mendapatkan perkenan Raja-raja.”

Terdahulu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menggesa KKM supaya menjelaskan pelaksanaan SOP Covid-19 yang didakwa terdapat elemen “double standard” sekali gus menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam tidak berkesempatan untuk menunaikan solat Jumaat dan jemaah 5 waktu di masjid.

Asri mempersoalkan mengapa SOP ketat masih dikuatkuasakan di masjid namun dilonggarkan di tempat lain seperti stadium, program hiburan dan ketika menaiki pengangkutan awam.

Tegas Asri, fatwa yang dikeluarkan untuk menjarakkan saf di masjid hanya dibenarkan apabila KKM memberi alasan penyebaran wabak akan berlaku jika saf dirapatkan.

“Kita hanya melonggarkan (syarat merapatkan saf) apabila ada alasan kukuh,” katanya.

“Tetapi alasan itu tidak dipakai di tempat lain, mengapa alasan itu hanya terpakai di masjid?”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles