- Iklan -
Berita

WHO jangka penularan varian Omicron di beberapa negara ‘tanpa dikesan’

WHO menggesa semua negara tidak cuai dan mengambil langkah segera bagi membendung penularan varian baru itu, selain menjaga sistem kesihatan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid di Britain ketika negara itu bakal menyambut Krismas akhir bulan ini. Gambar: AP
Orang ramai memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid di Britain ketika negara itu bakal menyambut Krismas akhir bulan ini. Gambar: AP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa memberi amaran penularan varian Omicron mungkin berlaku pada kadar yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini, menggesa semua negara untuk mengambil langkah berjaga-jaga ketika syarikat perubatan Pfizer mengatakan pil keluarannya berkesan dalam melawan varian itu.

Sekolah rendah Belanda dilaporkan ditutup lebih awal ketika Eropah menghadapi gelombang baru jangkitan dan kemasukan ke hospital.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berdepan ahli parlimen dalam usahanya untuk mengenakan sekatan pergerakan baru bagi membendung Covid-19.

Omicron, pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan penemuan itu dilaporkan kepada WHO pada 24 November.

Varian membimbangkan itu memiliki sejumlah mutasi genetik sekali gus menyebabkan negara mengaktifkan sistem penggera di seluruh negara sejak penemuannya.

Data awal menunjukkan Omicron boleh bertahan terhadap vaksin dan lebih mudah menular daripada varian Delta yang dikesan di India.

Varian Delta menjadi punca sebahagian besar kes Covid-19 di dunia sejak ia ditemui.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu pemberita bahawa varian itu telah dilaporkan di 77 negara dan “mungkin” telah merebak ke kebanyakan negara tanpa dikesan “pada kadar yang tidak pernah kita lihat daripada mana-mana varian sebelumnya”.

Keadaan bahaya

Walaupun Britain mengumumkan telah mengenal pasti satu kes kematian pertama akibat varian Omicron, namun masih belum wujud bukti Omicron telah menyebabkan penyakit yang lebih teruk.

WHO pada Selasa mengatakan Afrika telah mencatatkan peningkatan besar dalam kes sepanjang minggu lalu namun jumlah kematian lebih rendah berbanding gelombang wabak itu sebelum ini.

Bagaimanapun, WHO menggesa semua negara untuk bertindak pantas dalam usaha mengekang penularan varian itu dengan melindungi sistem kesihatan dan mengingatkan untuk tidak cuai dan lewa dalam berdepan penularan varian tersebut.

Pakar WHO Bruce Aylward menegaskan supaya orang ramai jangan “membuat kesimpulan bahawa ia adalah penyakit ringan”.

“Kita mungkin perlu bersedia untuk situasi yang sangat berbahaya,” tambahnya.

Peringatan dari WHO itu tampil ketika Pfizer berkata ujian klinikal pil rawatan Covid sudah 90% siap dijalankan.

Pil itu dirumus bagi mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit berisiko.

Menurut syarikat pengeluar ubatan itu, pil Paxlovid keluarannya, mampu melawan varian Omicron dalam ujian makmal.

Ketua Eksekutif Pfizer, Albert Bourla menyifatkan pengeluaran pil itu akan menjadi “game changer” dan berkata beliau menjangkakan ia akan mendapat kelulusan daripada badan kawalan ubat AS seawal bulan ini.

Presiden Amerika Syarika Joe Biden juga berkata berita pengeluaran Paxlovid memberikan harapan bagi satu lagi cara rawatan yang berpotensi besar dalam memerangi virus itu, termasuk varian Omicron.

Kajian dari Afrika Selatan menunjukkan dua dos vaksin Pfizer-BioNTech memiliki kadar 70% keberkesanan dalam menghentikan penyakit teruk akibat Omicron.

Dalam pada itu, WHO berkata kadar vaksinasi yang rendah di beberapa wilayah termasuk Afrika – tempat Omicron pertama kali dikesan – akan menyediakan tempat pembiakan bagi varian Covid-19 yang baru.

Ia menganggarkan Afrika akan mengambil masa sehingga Mei 2022 bagi memiliki 40% perlindungan vaksinasi.

Situasi itu adalah berikutan negara yang mempunyai bekalan vaksin kini sedang menyegerakan pemberian dos penggalak bagi melawan varian Omicron.