- Iklan -
Berita

Persatuan majikan gesa kerajaan henti skim pengeluaran KWSP sewaktu pandemik

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia berkata kerajaan perlu memikirkan cara lain dalam usaha membantu rakyat di tengah kebimbangan kemiskinan hari tua.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pencarum KWSP hadir di cawangan Bandar Baru Nilai untuk membuat urusan pengesahan online pada sistem aplikasi i-akaun KWSP yang didaftar mereka pada Disember lalu.
Pencarum KWSP hadir di cawangan Bandar Baru Nilai untuk membuat urusan pengesahan online pada sistem aplikasi i-akaun KWSP yang didaftar mereka pada Disember lalu.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa supaya skim yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan caruman dihentikan, mengatakan kerajaan sebaliknya harus memikirkan cara lain bagi membantu kewangan mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Dalam satu kenyataan, MEF menyuarakan kebimbangan pengeluaran yang dibuat melalui inisiatif i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang dibenarkan kerajaan sepanjang pandemik itu boleh menyebabkan ramai orang berdepan risiko kemiskinan di hari tua.

“Kerajaan mesti memikirkan skim lain bagi membantu mereka daripada benarkan pengeluaran simpanan KWSP yang merupakan keperluan di hari tua,” kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman.

“Tanggungjawab ini tidak boleh dikenakan kepada pekerja. Sebagai rakyat, mereka banyak menyumbang kepada negara dengan kerja yang mereka lakukan. Ia menjadi tanggungjawab negara bagi menjaga mereka apabila mereka bersara.”

Kumpulan itu juga menggesa kajian semula dasar ketika ini yang membenarkan pencarum mengeluarkan satu pertiga daripada simpanan mereka apabila mencapai umur 50 tahun dan boleh mengeluarkan keseluruhan caruman ketika usia 55 tahun.

Memetik keputusan untuk menaikkan usia persaraan dari 55 kepada 60 tahun, MEF turut berkata sudah tidak relevan lagi bagi KWSP untuk benarkan pencarumnya mengeluarkan simpanan apabila mereka mencapai usia 55 tahun.

Kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra adalah sebahagian daripada pelbagai pakej bantuan yang diumumkan Putrajaya bagi mengurangkan impak kewangan akibat Covid-19.

Bulan lalu, bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan menaikkan jumlah maksimum pengeluaran di bawah i-Citra dari RM5,000 kepada RM10,000.

Beliau berkata ia bukan satu langkah populis, sambil menambah ia berpunca daripada keperluan mendesak yang ditanggung rakyat selepas pandemik.

Menurut Najib, wujud dalam kalangan pencarum yang memerlukan modal untuk memulakan perniagaan kecil selain menyelesaikan tunggakan hutang.

“Mereka bukan suka-suka mahu keluarkan wang caruman mereka. Justeru, saya amat berharap had maksimum i-Citra dinaikan ke RM10,000,” katanya semasa perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, MEF berkata penting untuk kerajaan berikan perhatian terhadap fakta bahawa hanya 3% rakyat Malaysia yang memiliki cukup simpanan untuk bersara dengan selesa.

“Jelas sekali terdapat keperluan mendesak untuk penyelesaian yang lebih luas meliputi program jaringan keselamatan sosial yang berkesan, dasar pasaran buruh yang kukuh, pertumbuhan ekonomi yang mampan, latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran tenaga buruh.

“Selain dasar yang menggalakkan automasi dan digitalisasi untuk membantu meningkatkan produktiviti dan menjadikan kek ekonomi lebih besar supaya pekerja mempunyai peluang yang lebih baik bagi memperoleh pendapatan lebih, sekali gus meningkatkan caruman mereka dalam KWSP,” kata Syed Hussain.