- Iklan -
Berita

Lebih relevan jika Amanah bergabung dengan DAP, kata penganalisis

Mereka berkata gabungan itu dapat 'mencairkan' kebimbangan orang Melayu terhadap parti majoriti Cina itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Penganalisis berkata gabungan antara Amanah dan DAP lebih baik daripa parti Islam itu bergabung dengan PKR. Gambar: Facebook
Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Penganalisis berkata gabungan antara Amanah dan DAP lebih baik daripa parti Islam itu bergabung dengan PKR. Gambar: Facebook

Cadangan untuk menggabungkan Amanah dan PKR tidak akan berjaya menarik undi Melayu menyokong Pakatan Harapan (PH), sebaliknya parti serpihan PAS itu akan memberikan impak yang lebih besar sekiranya bergabung dengan DAP, kata penganalisis.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, PKR sudah mempunyai elemen Melayu dan Islam menerusi beberapa pemimpin utama mereka.

Katanya, dengan kemasukan pemimpin Amanah, kebimbangan orang Melayu kepada DAP akan berkurangan.

“DAP boleh beri ruang timbalan atau naib-naib presiden kepada Amanah, selain majlis tertinggi mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sekiranya terjadi, ia dapat mencairkan ‘kecinaan’ DAP yang sering menjadi sasaran persepsi dan manipulasi propaganda musuh politik mereka.”

Cadangan itu senada dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek Ronnie Liu yang mahu parti majoriti Cina itu bergabung dengan parti lain untuk menjadi parti yang mewakili kepelbagaian kaum.

Terbaru, beliau berkata parti itu perlu dijenamakan semula bagi membuang imej Cina DAP.

Cadangan gabungan antara PKR dan Amanah ditimbulkan selepas kekalahan memalukan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November selepas BN membentuk kerajaan negeri dengan dua pertiga majoriti daripada 38 kerusi yang dipertandingkan.

PKR tidak memenangi sebarang kerusi, manakala DAP menyaksikan pengurangan kerusi yang disandang wakil mereka.

Beberapa pemerhati menyatakan kekalahan itu akibat kegagalan PH menarik undi orang Melayu, justeru cadangan menggabungkan PKR dan Amanah bertujuan untuk menarik undi kaum terbesar Malaysia itu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan cadangan untuk kebaikan kedua-dua parti itu boleh dilaksanakan namun perlu dibincangkan terlebih dahulu, manakala kepimpinan Amanah menolak sama sekali cadangan itu.

Amanah ditubuhkan pada 2015 oleh beberapa bekas pimpinan PAS yang tewas pada pemilihan parti pada tahun yang sama.

Parti itu, yang menjadi sebahagian daripada PH ketika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tiga tahun dengan menggunakan jenama Islam progresif sebagai ideologinya.

Menurut Awang Azman, masyarakat kelas menengah melihat imej DAP yang tebal dengan kecinaan itu perlu dicairkan, dan membuktikan bahawa parti itu mewakili semua rakyat Malaysia.

Amanah akan ‘tenggelam’

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Ahmad Marthada Mohamed berkata gabungan antara Amanah dan DAP sukar direalisasikan kerana perbezaan ideologi antara kedua-dua parti itu.

“Gabungan itu akan beri imej positif kepada DAP tetapi Amanah akan lari daripada prinsip penubuhan mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, Amanah tetap perlu memikirkan prospek bergabung dengan parti lain untuk survivalnya.

Dalam konteks undi Melayu, Marthada berkata Amanah tidak berpeluang untuk menang jika Umno, PAS dan Bersatu bergabung pada PRU15 akan datang.

Justeru, katanya, PKR menjadi alternatif yang baik memandangkan parti itu mempunyai sejumlah sokongan daripada pengundi Melayu yang ingin dimenangi oleh Amanah.

“Melihat secara terperinci, Amanah tidak mempunyai sokongan akar umbi. Pengundi-pengundi menyokong PH pada dasarnya, mereka tidak sokong Amanah.”

Mengenai penerimaan masyarakat Cina terhadap DAP sekiranya berjaya bergabung dengan Amanah, Awang Azman berkata kaum itu harus berubah dan menerima realiti kemajmukan Malaysia.

“Meskipun ada peningkatan undi Cina kepada MCA dalam PRN Melaka, hakikatnya masih kurang.

“Masalah PH ialah menyakinkan pengundi Melayu. Hanya 10% undi Melayu sudah memadai untuk PH menang pilihan raya,” katanya.