- Iklan -
Berita

Ketua menteri, tokoh Sarawak sambut baik RUU bersejarah berhubung MA63

Mereka mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen kerana bersatu dalam usaha meluluskan RUU tersebut dan menantikan pelaksanaannya.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen rentas parti kerana mengenepikan perbezaan sesama mereka dan bersatu dalam meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menyelarikannya dengan komitmen kerajaan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bercakap dalam satu acara di Krian hari ini, beliau berkata pindaan yang ada dalam rang undang-undang tersebut membuktikan kedaulatan undang-undang tetap terpelihara.

“Saya ucap terima kasih kepada semua ahli Parimen Malaysia yang hadir semalam dan telah luluskan RUU MA63 di mana saya alu-alukannya.

“Dengan pindaan itu khasnya perkara 160(2), telah menjelaskan Perjanjian Malaysia dalam definisi persekutuan iaitu selain daripada perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dimasukkan juga MA63 termasuk annexnya, iaitu IGC,” katanya, yang merujuk laporan Inter-Governmental Committee.

Beliau turut menambah pindaan itu akan memperkasakan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Sarawak Richard Wee berkata pindaan tersebut adalah satu langkah yang betul dalam hala tuju Sarawak ke depan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata pindaan-pindaan yang dilaksanakan itu akan memberikan momentum yang besar bagi mewujudkan resolusi perkara-perkara berkait MA63.

“Ia adalah langkah pertama dalam penurunan kuasa kepada negeri yang wujud dalam MA63 di mana ia telah menggariskan hak-hak dan autonomi kedua-dua negeri Borneo,” kata Wee.

“Saya nantikan peningkatan momentum dalam usaha menyelesaikan semua perkara berkaitan pindaan-pindaan itu bagi memastikan apa yang menjadi milik kita dikembalikan.”

Semalam, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 diluluskan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, ia menerima sokongan dari 199 ahli Parlimen yang hadir ketika sesi pengundian di Dewan Rakyat.

Peristiwa pengundian sebulat suara semalam adalah kali kedua terjadi dalam sejarah Dewan Rakyat dalam menyokong RUU pindaan Perlembagaan selepas RUU Undi 18 pada 2019.

Pada 2019, Pakatan Harapan memulakan usaha untuk meminda Perlembagaan bagi tujuan yang sama namun ia gagal mendapatkan sokongan dua pertiga majoriti Dewan Rakyat.

Pengerusi Petros Hamid Bugo juga turut berkata langkah tersebut sangat dialu-alukan, namun apa yang lebih penting adalah pelaksanaannya.

“Dalam melaksanakan sebarang undang-undang, semangatnya lebih relevan daripada apa yang termaktub dalam kertas,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga merupakan pengerusi Gabungan Parti Sarawak berkata gabungan itu akan meneruskan perjuangan untuk hak-hak negeri Sarawak.

“Kita tuntut untuk pertahankan hak yang telah diputuskan dalam MA63 melalui proses undang-undang.

“Saya bagi pihak GPS mahu perjuangan kita adalah untuk mempertahankan Sarawak,” katanya.