- Iklan -
Berita

Ismail jamin Belanjawan 2022 akan dilaksana dengan penuh hemah

Ismail berjanji kerajaan persekutuan akan memanfaatkan mandat yang diberikan kepada kepimpinannya dengan sebaik mungkin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmennya untuk melaksanakan segala perincian Belanjawan 2022 dengan penuh hemah demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Katanya beliau mewakili kerajaan persekutuan berjanji akan memanfaatkan mandat yang diberikan kepada kepimpinannya dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Bajet 2022 telah diluluskan dengan jayanya setelah mendapat sokongan majoriti daripada ahli Parlimen.

“Terima kasih saya ucapkan kepada  semua Ahli Parlimen yang telah memberikan sokongan kepada undian Bajet 2022 ini, khususnya daripada pihak pembangkang,” kata Ismail Sabri menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Menurut perdana menteri beliau percaya kekuatan sesebuah pentadbiran itu turut terletak pada proses semak dan imbang yang cemerlang.

Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) yang menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19, dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata belanjawan bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” berkenaan mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Rang undang-undang itu yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri diluluskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam, selepas 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 November bagi setiap kementerian terlibat.

Dewan Rakyat meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar pada 18 November.