- Iklan -
Berita

Rosmah gagal mohon hakim tarik diri kes pengubahan wang haram

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri sekaligus menetapkan perbicaraan pada 12 Januari depan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah Mansor akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi  yang mendengar kes rasuahnya berkaitan projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya. Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 12 Januari 2022.

Hakim Zaini berkata beliau akan memastikan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu, tidak akan diprejudis dalam kes pengubahan wang haram apabila rujukan dibuat kepada kenyataan dalam kes rasuah projek solar kerana hakim dikehendaki mempertimbangkan secara berasingan dan secara bebas keterangan terhadap tertuduh.

“Sebarang dapatan yang saya buat dalam kes solar kekal di sana. Lagipun adalah menjadi tanggungjawab saya atau mana-mana hakim, untuk memastikan tertuduh atau mana-mana tertuduh, dibicarakan secara adil seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes pendakwa raya lawan Tengku Adnan Tengku Mansor yang memutuskan bahawa seorang hakim, tidak seperti juri, dilatih dalam undang-undang untuk tidak berat sebelah.

Hakim berkata dakwaan Rosmah mungkin berlaku prejudis kerana beliau (Zaini) akan membuat perbandingan antara kenyataan dan pembelaannya dalam kes ini, adalah tidak berasas.

“Dalam kes solar, apabila membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima kenyataan bagi mencabar tertuduh, saya memutuskan bahawa tiada soalan perlu ditanya berkaitan fakta kes pengubahan wang haram.

“Semasa membuat keputusan itu, saya memutuskan bahawa nilai probatif bagi isu-isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak melebihi kesan prejudis yang mungkin dialami oleh tertuduh.

“Dalam apa jua keadaan, peguam responden (Rosmah) semasa membuat penghujahan, meyakinkan saya bahawa isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung kenyataan dalam kes solar tidak mempunyai kaitan dengan isu dalam kes ini,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram manakala Rosmah yang tidak hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam Geethan Ram Vincent.

Pada 2 November, Rosmah memfailkan permohonan supaya Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas alasan keterangan dan eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes solar itu boleh secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi hakim dalam kes pengubahan wang haram tersebut.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah hasil dalam negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.