- Iklan -
Berita

Putrajaya kekal wajibkan pemakaian pelitup muka walau kes Covid menurun

Kajian oleh bahagian penyelidikan KKM mendapati 95% responden sangat bersetuju untuk terus amalkan norma barau dan pematuhan SOP

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Penumpang monorel di Kuala Lumpur memakai pelitup muka dan mengikut SOP penjarakan fizikal bagi membendung jangkitan wabak.
Penumpang monorel di Kuala Lumpur memakai pelitup muka dan mengikut SOP penjarakan fizikal bagi membendung jangkitan wabak.

Warga Malaysia tidak dibenarkan untuk meninggalkan pemakaian pelitup muka dalam masa terdekat walaupun angka kes Covid-19 mulai menurun ketika kerajaan mengatakan ia mungkin menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) wajib yang lain.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Aaron Ago Dagang hari ini memetik sebuah kajian yang dijalankan bahagian penyelidikan kementerian kesihatan (KKM) pada Oktober berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mendapati 95% responden masih patuh dan sangat bersetuju untuk teruskan amalan norma baru.

Beliau turut merujuk kepada artikel yang dikeluarkan University of Texas yang disiarkan pada 26 Januari lalu, yang menyatakan penggunaan pelitup muka dapat mengurangkan jangkitan melalui penyebaran cecair pernafasan sama ada menerusi kajian makmal atau klinikal.

“Bagaimanapun, penggunaan pelitup muka mestilah disekalikan dengan pematuhan SOP seperti penjarakkan fizikal dan kerap membasuh tangan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Oleh itu, kedua-dua kaedah ini wajar dijadikan amalan norma baru setiap individu, walaupun Malaysia telah beralih ke fasa endamik, dan malah ini perlu diteruskan.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamaddin Ketapi (Bersatu-Lahad Datu) yang bertanyakan bilakah KKM akan longgarkan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial memandangkan kebanyakan negara di Eropah khususnya di UK tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Mengulas lanjut, Aaron turut menekankan kepentingan mematuhi SOP berikutan kemunculan varian Omircon.

“Negara seperti US dan UK menyarankan rakyat mereka meningkatkan amalan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 3,011 individu dikenakan tindakan kompaun kerana tidak patuh dengan arahan pemakaian pelitup muka manakala 3,080 individu dikompaun kerana tidak amalkan penjarakan fizikal.